
BAITULMAQDIS: Tentera Israel telah menyedari bahawa menghapuskan Hamas di Semenanjung Gaza akan mengambil masa berbulan-bulan.
Itu hasil analisis yang dihasilkan penganalisis tentera Israel, Yoav Zitun yang dinyatakan dalam artikelnya yang diterbitkan pada Ahad (10 Dis).
Walaupun tentera Israel berharap untuk menggulingkan Hamas yang telah memerintah Semenanjung Gaza sejak musim panas 2007, ‘di lapangan (perang), tentera Israel tergamam setiap hari dengan betapa kuatnya Hamas. Ia adalah tentera sebenar (…) yang ditubuhkan 50 minit dari Tel Aviv sejak beberapa tahun lalu,” tulis Zitun dalam artikel yang diterbitkan oleh akhbar Israel, Yedioth Ahronoth.
“Keupayaan ketenteraan pergerakan (Hamas) itu mengesahkan bagaimana ia telah menentang pendudukan Israel di Palestin selama beberapa dekad,” tulisnya.
Zitun juga menyebut dalam artikelnya bahawa Amerika Syarikat telah menghantar tarikh akhir kepada Israel untuk menamatkan perang di Gaza ‘sehingga akhir Disember (2023) atau Januari (2024),” yang dinafikan Washington pada Jumaat (8 Dis) lalu.
Menjelaskan keupayaan Hamas dalam menghadapi tentera Israel, Zitun mendakwa: “Mereka (Hamas) mempunyai ratusan ribu senjata, termasuk peluru RPG pelbagai jenis, yang dianggap sebagai senjata utama mereka.
“Mereka juga mempunyai pelancar roket canggih, dron bahan letupan, dan dron serangan yang dihasilkan sebagai salinan dron Sky Rider tentera Israel, yang jatuh di Semenanjung Gaza dalam dekad yang lalu.”
Menurut Zitun, “Pejuang Hamas juga mempunyai mesingan, senapang Kalashnikov, senapang sniper Dragunov, peranti komunikasi canggih, alat letupan dengan standard dan saiz yang berbeza (..) dan jumlah senjata dan keupayaan ketenteraan yang tidak terkira banyaknya.”
Mengenai pencerobohan Israel ke utara Semenanjung Gaza, Zitun menyatakan, “Pertempuran sengit di Beit Hanoun boleh menunjukkan bahawa membersihkan Gaza daripada musuh akan mengambil masa berbulan-bulan, walaupun Hanoun bukanlah kubu kuat Hamas.”
Mengenai kejiranan Shujaiya di Kota Gaza, Zitun memetik seorang pegawai kanan dalam Briged elit Golani sebagai berkata, “Hamas telah menempatkan batalion terkuatnya di sana.”
“Hamas di kawasan kejiranan itu dilahirdan dibesarkan di sana, mereka dikaitkan dengan tempat itu dan tidak akan melarikan diri,” dakwa pegawai itu.
“Dari sudut praktikal, kami memerlukan kira-kira enam bulan untuk membersihkan Shujaiya sepenuhnya,” tegasnya.
Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza pada 1 Dis lalu selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas.
Sekurang-kurangnya 17,700 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 48,780 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas enklaf itu sejak 7 Okt lepas berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas. – HARAKAHDAILY 11/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!