KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mendapatkan pengesahan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung pemberian Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) kepada pengamal seks songsang di negara ini.
Senator Dato’ Husain Awang berkata, PrEP merupakan sejenis ubatan oral yang digunakan untuk mencegah penukaran jangkitan virus kurang imun manusia (HIV) dalam masyarakat khususnya golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menurutnya, meskipun projek perintis kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan golongan terbabit, namun fatwa masih belum diputuskan mengenai usaha tersebut.
“Apakah status terkini perbincangan KKM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkenaan hukum pemberian PrEP kepada golongan LGBT dan pekerja seks songsang?
“Adakah kerajaan setuju untuk menangguhkan pemberian ini sehingga satu hukum dikeluarkan bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengamal perubatan?” hujahnya ketika mengutarakan soalan tambahan di sidang Dewan Negara, di sini, hari ini..
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisma Awang Sauni dalam jawapanya menjelaskan bahawa program tersebut sudah bermula sejak Januari 2023 dan diteruskan sehingga 31 Disember ini.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu dibawah PrEPGov2023 merupakan projek perintis yang melibatkan 18 klinik kesihatan KKM bagi melihat kesan kesihatan secara langsung dan tidak langsung terhadap pemberian itu.
Bagaimanapun kata beliau, pihaknya sedang mengadakan satu sesi libat urus bersama pegawai dari pihak berkuasa agama persekutuan dan negeri mengenai penggunaan PrEP.
“Kita mendapati bahawa adalah keputusan muktamad belum lagi diputuskan walaupun demikian kita melihat keperluan untuk pengagihan PrEP ini amat diperlukan.
“Kita mendapati peningkatan kesedaran individu terbabit berkenaan penggunaan PrEP ini dapat mengubah tingkah laku,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!