LAHAD DATU: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bukan sahaja menerapkan pembelajaran agama kepada pelajar, malah mencungkil bakat mereka dalam sukan.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Sabah, Jumaidin Lakalla, Sistem Perkembangan Prestasi Murid (SPPM) yang telah menongkah arus menzahirkan solusi baru sebagai satu sistem penilaian perkembangan murid secara lebih berkesan dan komprehensif di samping mengurangkan kebergantungan kepada kaedah peperiksaan.
“Kemenjadian murid digarap secara seimbang melalui lima elemen bersepadu dalam SPPM iaitu Celik Al-Quran, Celik Sahsiah, Celik Minda, Celik Cerdas dan Celik Membaca,” katanya semasa merasmikan Temasya Sukan PASTI Lahad Datu, di Kompleks Sukan, semalam.
Sementara itu, pengarah program, Nazir Azlan menyatakan, temasya sukan itu pertama kali diadakan selepas Covid-19.
Menurutnya, kehadiran pengunjung pada kali ini adalah teramai sepanjang 18 tahun Temasya Sukan PASTI Lahad Datu diadakan.
Sebanyak enam PASTI Lahad Datu telah mengambil bahagian dalam temasya kali ini iaitu PASTI Al-Falah, PASTI An-Najah, PASTI Al-Hidayah, PASTI-Al Fateh, PASTI Al-Haqq dan PASTI Permata Kasih.
PASTI Al-Hidayah telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, tempat kedua disandang oleh PASTI Al-Falah manakala tempat ketiga PASTI An-Najah.
Turut Hadir Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan, Ustaz Zaki Ibrahim dan Ahli Majlis Daerah, Kanizam Kamis. – HARAKAHDAILY 11/12/2023