Cemar nama baik: Hilman ambil tindakan undang-undang

Muhammad Hilman Idham
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham bakal mengambill tindakan undang-undang susulan terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mencemar nama baik dan reputasi dirinya serta cuba meremehkan demokrasi di negara ini.

Beliau dalam satu kenyataan media pada hari ini, Isnin (11 Dis) berkata, telah mengadakan perbincangan dengan pasukan peguamnya untuk mengambil tindakan berkenaan sambil menegaskan bahawa individu-individu telah dikenalpasti untuk tindakan lanjut dalam masa yang terdekat ini.

- Advertisement -

Tindakan beliau itu adalah susulan daripada keputusan Hakim Pilihan Raya Mahkamah Tinggi Ipoh, Dato’ Abdul Wahab Mohamed yang telah memutuskan untuk menolak petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia dengan kos. 

Hakim berkenaan juga mendapati bahawa tuduhan-tuduhan yang dikemukakan terhadap Hilman oleh pempetisyen sebelum ini adalah tidak berasas sama sekali. 

“Alhamdulillah, syukur di atas keputusan bersejarah Hakim Pilihan Raya Mahkamah Tinggi Ipoh, Yang Arif Dato’ Abdul Wahab Mohamed itu.

“Keputusan mahkamah pada hari ini (11 Dis) memberikan makna dan pengertian yang besar buat diri saya dan seluruh pengundi DUN Gombak Setia, yang mana keadilan telah ditegakkan. 

“Sejak awal lagi saya menegaskan bahawa petisyen yang dikemukakan ini, khususnya mengenai isu politik wang dan rasuah politik adalah fitnah dan tohmahan dengan niat jahat bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti dan mencemar reputasi saya sebagai seorang Ahli Dewan Negeri,” katanya.

Menurut beliau, usaha petisyen berkenaan juga adalah satu cubaan untuk mengkhianati dan memperkotak-katikkan mandat yang telah diberikan oleh para pengundi DUN Gombak Setia. 

“Justeru, keputusan mahkamah tersebut pada hari ini telah memberi keabsahan kepada mandat para pengundi DUN Gombak Setia yang memilih PERIKATAN NASIONAL (PN),” katanya  HARAKAHDAILY 11/12/2023.

- Advertisement -