Pemuda PAS Pahang terus pacu misi tawan negeri

Ahmad Azlan Abu Bakar
- Advertisement -

KUANTAN: Pemuda PAS Pahang tekad untuk terus memacu misi menawan negeri ini setelah setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.

- Advertisement -

Pahang mencatat sejarah baru pada PRU15 lalu apabila tiada satu pun blok parti politik berjaya menubuhkan kerajaan secara bersendirian.

Ia juga merupakan sejarah terburuk Umno Pahang setakat ini apabila gagal mempertahankan kerajaan negeri secara bersendirian dan hanya mengharapkan ihsan PH yang didominasi DAP untuk terus menerajui negeri.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, bagi PAS dan PN Pahang pula, PRU15 merupakan pencapaian terbaik walaupun koalisi parti itu baru sahaja dibentuk.

Kemenangan PN itu, ujarnya tercapai melalui penguasaan kerusi-kerusi Felda dan kerusi majoriti Melayu.

Menurutnya, keputusan dizahirkan pengundi dengan 17 kerusi dimenangi PN, 17 dimenangi BN dan 8 dimenangi PH, membuktikan sokongan terhadap Umno dan BN Pahang semakin terhakis.

“Berdasarkan trend sokongan terkini, sokongan anak muda dan pengundi terutama pengundi Melayu semakin hari semakin meningkat dan negeri Pahang tidak terkecuali.

“Jika dilihat saluran pengundi muda pada PRU15 yang lepas, PAS dan PN Pahang berjaya menguasai lebih 50 peratus saluran anak muda di negeri Pahang.

“Kami optimis menuju ke PRU16 trend sokongan ini akan terus meningkat berdasarkan dapatan terkini dan keputusan beberapa PRN dan PRK baru-baru ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Pemuda PAS Pahang turut melihat banyak perkara berlaku pasca PRU15 begitu menggusarkan.

Hal ini ujarnya diperlihatkan melalui satu keratan pautan daripada Lim Kit Siang berbunyi ‘Perlembagaan negara tidak menghalang orang bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri’.

Katanya, kenyataan sebegini seolah-olah ingin mencabar keharmonian yang telah terbentuk di negara ini.

Tambah membimbangkan lagi ujarnya, agenda Islam dan Melayu kelihatan dihalang mahupun disulitkan jika ia memberi ‘kepanasan’ atau tidak memberi kredit kepada pihak yang berkepentingan khususnya PH dan DAP pasca PRU15.

“Bagi merealisasikan ‘This Is Pantai Timur’ Pemuda PAS negeri bertekad akan terus memacu misi PAS PN menawan Pahang berjaya direalisasikan selewat-lewatnya PRU16.

“Pemuda PAS Pahang yakin dengan keputusan PRK Kemaman baru-baru ini, gelombang ini akan terus membadai negeri Pahang dan kami yakin negeri Pahang dapat ditawan selewat-lewatnya PRU16 nanti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/12/2023

- Advertisement -