RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman mendedahkan butiran terpernci tentang perancangan bandar dan penjenamaan global untuk Qiddiya City, sebuah projek hiburan besar-besaran yang sedang dalam pembinaan di pinggir Riyadh.
Putera Mahkota, yang mempengerusikan lembaga pengarah Syarikat Pelaburan Qiddiya, berkata pada Khamis (7 Dis), bandar raya itu menyasarkan untuk segera diperkasakan sebagai destinasi global terkemuka untuk hiburan, sukan dan budaya, yang akan memberi manfaat kepada kerajaan Saudi dengan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kedudukan strateginya di peringkat antarabangsa.
Ia juga direka untuk meningkatkan kualiti hidup, tambah Putera Mohammed, dan meletakkan Riyadh sebagai salah satu daripada 10 ekonomi teratas di dunia, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
“Pelaburan dalam projek Qiddiya merupakan asas Wawasan Saudi 2030 yang bertujuan untuk membangunkan dan mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi, mengurangkan pergantungan negara kepada hasil minyak dan mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan untuk belia Saudi,” titahnya.
Qiddiya, tambah baginda, merupakan salah satu projek utama yang diselia oleh Dana Pelaburan Awam, dibayangkan sebagai sumber sokongan penting untuk matlamat pelancongan dan ekonomi kerajaan Saudi yang bercita-cita tinggi, selain meningkatkan kualiti hidup penduduk dan pelawat. Ia dijangka membantu menarik pelabur tempatan, serantau dan antarabangsa, yang seterusnya akan memberikan sokongan kepada Riyadh.
“Kerja-kerja projek Qiddiya, dalam bentuk kira-kira AS$2.7 bilion (RM12.6 juta) yang dilaburkan dalam projek pembinaan, bermula pada 2019.
“Penjenamaan untuk Qiddiya akan menerima pakai konsep ‘permainan’ sebagai motif utamanya, berdasarkan penyelidikan berdekad-dekad yang menunjukkan ini penting untuk perkembangan kognitif, ekspresi emosi, kemahiran sosial, kreativiti dan kesihatan fizikal.
“Kajian juga menunjukkan kesan positif aktiviti rekreasi terhadap masyarakat, termasuk keupayaan mereka untuk membantu mengatasi perbezaan dan merapatkan perpecahan antara individu, dan meningkatkan empati dan perpaduan sosial,” titah Putera Mahkota lagi.
Bandar Qiddiya, yang digambarkan sebagai destinasi satu-satunya yang menjanjikan untuk memberikan keseronokan yang tidak berkesudahan untuk penduduk dan pelawat melalui hiburan, acara dan aktiviti sukan, budaya dan kehidupan bandar yang luar biasa yang tiada tandingannya itu akhirnya akan merangkumi 600,000 penduduk dan 60,000 bangunan di kawasan seluas 360 kilometer persegi.
Ia dijangka mewujudkan lebih 325,000 pekerjaan, menjana keluaran dalam negara kasar nominal sebanyak SR135 bilion setahun, dan menarik 48 juta pelawat setiap tahun.
Terletak kira-kira 40 minit dari pusat Riyadh, menghadap ke pemandangan pergunungan Tuwaiq yang menakjubkan, tarikan Bandar Qiddiya termasuk daerah permainan dan sukan, litar lumba sukan permotoran, padang golf, taman air yang besar dan taman tema Six Flags Qiddiya.
Ia juga akan menjadi rumah kepada stadium sukan yang merangkumi muzium Olimpik terbesar di dunia. Kemudahan pertamanya dijangka dibuka dalam tempoh dua tahun. – HARAKAHDAILY 8/12/2023