SAYA sifatkan Presiden Umno ialah nakhoda gagal yang sedang membawa kapalnya karam. Sayangnya, ‘anak-anak kapal’ sekelilingnya tiada yang berani menegur bahkan hanya berperanan menjadi tukang ampu sedangkan sangat jelas kapal yang sedang dinaiki karam sedikit demi sedikit.
PAS akan terus berusaha menyelamatkan pemimpin dan ahli Umno dari terus karam. Sama ada menyelamatkan kapal Umno atau menjemput mereka menyertai kapal yang lain. Perpaduan ummah tidak pernah akan bernoktah usahanya.
Biarlah Presiden Umno menyatakan PAS ‘gila talak’, hakikatnya yang ‘gila talak’ inilah yang menang lebih besar berbanding yang sedang mengata nista. Realitinya posisi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Bandar pun gagal dimanfaatkan untuk memikat undi masyarakat luar bandar khususnya orang-orang Melayu.
Satu-satunya ‘kejayaan paling besar’ Datuk Seri Zahid ialah menyelamatkan dirinya dari terus didakwa atas 47 pertuduhan jenayah walaupun harganya ialah kerajaan Malaysia menghadapi kecaman dari dalam dan luar negara. Sayangnya yang berdegar-degar melaungkan agenda reformasi itulah yang sedang menjulang agenda menyelamatkan Zahid.
Jika Ronin 47 ialah kisah sekumpulan samurai yang sanggup berkorban demi harga diri dan maruah mereka, maka Zahid 47 ialah kisah seorang tokoh yang sanggup menenggelamkan bahtera perjuangannya sendiri. Benar atau tidak, tunggulah sahaja.
AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Penerangan PAS
6 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 6/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!