KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mengetuai usaha penubuhan unit pemantauan undang-undang di kalangan negara dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) untuk memastikan bumi Palestin, terutama wilayah Gaza kembali aman dan dapat dibangunkan semula.
Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, penubuhan unit tersebut bertujuan untuk mendokumentasikan bukti jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh negara haram Israel dalam konflik yang sudah berlanjutan hampir dua bulan itu.
Beliau berkata, kerajaan boleh menggunakan kepakaran dan pengalaman pasukan guaman Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Yayasan MyAqsa yang lebih dahulu melaksanakan petisyen jenayah yang dilakukan oleh rejin zionis untuk dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Saya juga memohon kerajaan Malaysia dapat mengepalai penubuhan unit pemantauan undang-undang di peringkat negara OIC untuk membuat dokumentasi dan bukti terhadap kezaliman dan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim zionist Israel.
“Seterusnya menyerahkannya kepada ICC untuk tindakan segera, ini memandangkan di kalangan negara OIC sendiri sudah ada NGO di Malaysia yang telah ke hadapan memfailkan petisyen jenayah perang dan jenayah kemanusiaan ke peringkat ICC,” katanya ketika perbahasan usul mengenai Palestin di Dewan Negara, hari ini.
Nik Mohamad Abduh berkata lagi, meskipun Malaysia bukan ahli Statut Rome yang membolehkan petisyen kepada ICC dibuat, namun salah seorang peguam cara ICC, Karim Ahmad Khan dalam kenyataan rasmi pada 30 Oktober lalu mengalu-alukan bukti jenayah semua pihak.
Beliau turut memetik kenyataan tersebut dengan menyatakan negara yang bukan ahli Statut Rome boleh bersama-sama menyerahkan laporan serta bukti jenayah mengenai jenayah tersebut yang menyebabkan hampir 16,000 penduduk di Gaza kini kehilangan ahli keluarga.
Beliau berkata, Malaysia boleh mengepalai usaha tersebut dan ia tidak boleh dijadikan alasan bagi negara memberi sumbangan kepada penduduk di Gaza dan berusaha membawa pemimpin negara haram Israel ke muka keadilan antarabangsa atas perbuatan yang dilakukan.
“Dia menyebut negara yang bukan ahli kepada Statut Rome untuk turut sama menyerahkan laporan dan bukti jenayah kepada pihak mereka, jadi walaupun negara kita bukan ahli kepada Statut Rome, ia bukan alasan untuk tidak menyumbang sesuatu dalam usaha ini.
“Ini perbuatan yang paling teruk dalam sejarah manusia moden, pencabulan ini termasuk menyerang kakitangan perubatan daripada menjalankan tugas masing-masing, menyekat agihan bekalan perubatan dan bahan makan serta banyak lagi bukti jenayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/12/2023