KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani perlu melihat secara menyeluruh hasil pemberian bantuan RM100 juta melalui Program Pengukuhan Mikro Madani kepada usahawan di negara ini.
Senator Tuan Hussin Ismail berkata, ia adalah susulan kerajaan telah mengadakan program bagi mensasarkan kepada 20,700 orang usahawan bagi perusahaan mikro terutamanya dalam pembangunan dan perkembangan projek-projek perniagaan mereka.
Dalam soalan tambahan, justeru beliau meminta agar Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Senator Saraswathy A/P Kandasami memberikan penjelasan mengenai sejauh manakah (status) keberhasilan dan impak bantuan tersebut kepada golongan usahawan yang terlibat.
Beliau berkata demikian dalam sidang di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy berkata, berkaitan dana RM100 juta yang telah dilancarkan pada Julai 2023 itu, pelaksanaan telah dilakukan menjelang Sept dan Okt.
Namun begitu, ujar beliau, hasil kejayaan ataupun impak hanya boleh didapati selepas daripada ini.
“Kita akan bagi secara bertulis kepada Ahli Berhormat kerana maklumat tersebut belum diterima oleh pihak kementerian lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2023