Pencapaian SG4 untuk perhatian Rafizi

- Advertisement -

SETIAP kali Rafizi Ramli buka mulut cerita mengenai ekonomi negeri, setiap kali itulah Rafizi akan serang titik kelemahan negeri pembangkang dengan menafikan pelbagai sumbangan yang diberikan oleh negeri-negeri ini. 

Sudah berapa kali dinyatakan betapa negeri-negeri pembangkang ini sudah menggapai beberapa kejayaan. Ia bukan hanya cakap kosong, bahkan turut dibuktikan dengan angka dan fakta. 

Berikut adalah kejayaan pengurusan negeri di bawah pentadbiran PAS yang boleh dikategorikan mengikut 4 perkara:

1. Prestasi kewangan dan ekonomi negeri.

i. Kedah: 

Pengurusan kewangan yang cekap dan berhemah tinggi. Jumlah perolehan hasil setakat suku ketiga 2022 adalah RM517.07 juta iaitu 71.1 peratus berbanding sasaran RM725 juta. 

Rizab simpanan tunai meningkat daripada RM324.3 juta (Disember 2020) kepada RM549.3 juta sehingga September 2022. (Sinar Harian, 30 Oktober 2022)

ii. Terengganu: 

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu pada 2021 berkembang kepada 3.6 peratus daripada penguncupan 5.7 peratus tahun sebelumnya.

Perubahan peratusan tahunan KDNK Terengganu ini meneruskan peningkatan konsisten daripada kedudukan ke-13 pada 2018 kepada kedudukan ke-11 (2019), ke-9 (2020) dan ke-3 (2021). (TRDI, 30 Jun 2022).

iii. Kelantan:

Walaupun semua negeri menghadapi kemuncupan ekonomi yang teruk pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19, negeri ini mampu bertahan dengan kadar penguncupan hanya sekitar 1.2 peratus, berbanding negeri maju yang lain seperti Johor (-4.7 peratus) dan Selangor (-5.2 peratus). 

Selain itu, kebangkitan ekonomi negeri ini pada tahun 2021 sangat memuaskan apabila mengalami pengembangan pada kadar 2.4 peratus, sama seperti Johor, malah lebih baik daripada Melaka, Perlis dan Pahang. Bahkan, Kerajaan Negeri turut mendapat pujian daripada Sultan. (Berita Harian, 28 Mac 2022)

2. Keyakinan pelabur luar.

i. Kedah: 

Pelaburan Negeri merekodkan RM68.3 bilion sepanjang tahun 2021 yang merupakan rekod pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah Negeri Kedah. 

Kedah juga berjaya menarik pelaburan syarikat kenderaan terkemuka, Porsche yang membuka kilang pertama di luar Eropah dalam tempoh 74 tahun penubuhannya. 

Keseluruhan peluang pekerjaan yang dijana adalah sebanyak 116,000. (Berita Harian, 23 Ogos 2023), (MBI, 20 Mac 2022)

ii. Terengganu: 

Jumlah pelaburan ke dalam Negeri Terengganu bertambah daripada RM0.86 bilion (2019) kepada RM2.95 bilion (2020) dan sekali lagi meningkat kepada RM3.87 bilion (2021). 

Secara keseluruhan, bagi tempoh 4 tahun sejak berada di bawah pemerintahan PAS (2018-2021), jumlah pelaburan di Terengganu adalah sebanyak RM12.48 bilion dan turut mencipta sebanyak 7,596 peluang pekerjaan. (Berita Harian, 25 Ogos 2022), (Harian Metro, 11 Oktober 2021)

iii. Kelantan:

Hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, pelabur luar negara dan swasta, sebanyak RM7.9 bilion pelaburan berjaya ditarik ke dalam negeri bagi tempoh 5 tahun. Nilai pelaburan ini mewujudkan sebanyak 2,570 peluang pekerjaan di Kelantan. (Berita Harian, 26 Julai 2022), (LNA, 12 Mac 2022)

3. Penekanan terhadap sekuriti makanan.

i. Kedah: 

Dasar penanaman padi lima kali dua tahun selari dengan Pelan Pembangunan Kedah 2035 di bawah Teras Kemakmuran Ekonomi. Pihak MADA telah menyediakan sebanyak 1,033 hektar tanah sawah yang memiliki sistem pengairan yang baik untuk perlaksanaan projek rintis. (Astro Awani, 16 Februari 2022)

ii. Terengganu: 

Tahap Sara Diri (SSL) bagi makanan ruji padi untuk Negeri Terengganu mengalami peningkatan yang konsisten sejak pentadbiran negeri di bawah PAS melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pertanian 2018-2025.

Peningkatan ini bermula pada tahun 2019 (48 peratus) daripada 43 peratus pada tahun 2018. Bagi tahun 2020 pula, SSL Padi mencapai sehingga 53 peratus dan terus meningkat pada 2021 dengan kadar 55.8 peratus. Nilai ini dijangka akan terus meningkat sehingga 60 peratus pada tahun ini. (TRDI, 24 Mac 2022)

iii. Kelantan: 

Walaupun mempunyai pendapatan negeri yang terhad, rakyat Kelantan tidak perlu bimbang kerana negeri ini tidak akan menghadapi situasi kekurangan makanan sekiranya berlaku krisis bekalan makanan ekoran Tahap Sara Diri (SSL) Kelantan yang sangat tinggi.

Antaranya seperti beras (208 peratus), kambing dan biri-biri (190 peratus), ikan (93 peratus), sayur-sayuran (98 peratus) dan buah-buahan (117 peratus). (Harian Metro, 18 Julai 2022), (Berita Harian, 18 Julai 2022)

4. Ketelusan dan integriti dalam pentadbiran.

i. Kedah: 

Pengiktirafan Sijil Bersih Penyata Kewangan Negeri Kedah bagi tahun berakhir Disember 2021 oleh Ketua Audit Negara. (Harakahdaily, 9 September 2022)

ii. Terengganu: 

Menduduki tempat pertama dalam ranking ketelusan belanjawan negeri (85 peratus) berdasarkan kajian yang dibuat oleh The Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) terhadap semua negeri di Malaysia. (TRDI, 29 Julai 2022)

iii. Kelantan: 

32 tahun pemerintahan tanpa sebarang kes yang melibatkan rasuah dan pecah amanah. Berbeza dengan beberapa pihak yang baru sahaja 22 bulan diberikan kuasa, terus berdaftar sebagai kluster mahkamah. Bayangkan kalau mereka memegang kuasa selama 5 tahun. (Sinar Harian, 20 Jun 2022)

Semoga jawapan ini dapat membuka mata dan hati Rafizi.

Jika negeri seumpama Selangor dan Pulau Pinang diangkat kerana menyumbang kepada hasil kerajaan, negeri seumpama Kedah dan Kelantan juga perlu diangkat kerana menjadi punca terjaganya keselamatan makanan di negara kita.

Setiap negeri ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jangan disebabkan pilih kasih kerana di bawah pentadbiran pembangkang, semuanya dinafikan. 

USTAZ NASRUN OTHMAN
Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah
Pegawai Khas Menteri Besar Kedah
4 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 4/12/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!