BACAAN politik Tan Sri Lim Kit Siang (Kit Siang) makin karat barangkali sekarat usianya.
Kit Siang dalam mengucap tahniah kepada Dr Samsuri (Dr Sam) cuba menyucuk jarum halus mengadu domba, cuba melagakan antara Dr Sam dengan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH).
(Ternyata kecewa beliau dengan keputusan Kemaman)
Kononnya beliau mendakwa Dr Sam lebih moderat dan berfikiran terbuka sesuai memimpin PAS.
Saya yakin Kit Siang sebenarnya bimbang dengan kemenangan di Kemaman, satu isyarat umat Melayu Islam iaitu penduduk majoriti dalam negara lebih selesa bersama PAS berbanding BN-PH.
Beliau juga bimbang apabila pimpinan profesional PAS mula masuk ke arus perdana politik negara sekali gus menggerhanai rakan-rakan Melayunya yang tempang dan pincang dalam BN-PH.
Beliau tahu sesungguhnya tidak ada pemimpin PAS yang liberal atau moderat semuanya fundamentalis belaka iaitu berpegang teguh pada prinsip dan dasar perjuangan PAS.
Tetapi menjadi fundamentalis itu telah melahirkan pimpinan yang bersih, berwibawa, adil dan berjiwa rakyat.
Jadi Kit Siang bimbang apa sebenarnya? Bimbang lahir pimpinan Melayu Islam yang baik atau apa?
Kita yakin puluhan lagi pimpinan umpama Dr Sam telah berjaya dilahirkan PAS. PAS bukannya lahirkan pimpinan yang korup, penyamun dan penyakau tetapi pimpinan berkualiti yang dikehendaki rakyat.
Tak perlu Kit Siang mencaturkan kepimpinan PAS. Sebaliknya jaga dan rawatlah BN-PH yang semakin parah dan ditolak rakyat itu.
Kemaman adalah politik masa depan Malaysia, bersedialah menerima perubahan.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 4/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!