
KANGAR: Sungguhpun Harakah lebih dikenali sebagai portal politik, namun kini ia bersifat lebih terbuka malah menjadi satu-satunya media parti yang masih bertahan sehingga kini.
Terkini, wartawan Harakah negeri Perlis, memenangi tempat ketiga bagi kategori Pelancongan, Warisan dan Seni Terbaik pada majlis Anugerah Kewartawanan Negeri Perlis (MAKPs) 2023, anjuran Persatuan Wartawan Perlis di Dewan Warisan, di sini, malam tadi.
Noor Sara Mashitoh Mohamad Hanif menerima trofi dan wang tunai RM500 bagi laporan berita berjudul, Keindahan Bumi Perlis.
Pemenang pertama bagi kategori tersebut ialah wartawan dari Bernama, Ahmad Muliady Abdul Majid dengan tajuk berita, Naik Choley Tarikan Baharu di Kampung Seberang Ramai; manakala wartawan Utusan, Mohd Hafiz Abd Mutalib menang tempat kedua dengan berita berjudul, Awang Batil Akan Terus Dipertahan.
Kesemua anugerah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika ucapan perasmian MAKPs 2023 bertitah, pengamal media wajar memainkan peranan penting bagi menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat.
“Walaupun terdapat pelbagai platform media baharu yang berkembang pesat, namun laporan pemberitaan masih menjadi rujukan utama masyarakat.
“Tugas pengamal media, baik media cetak mahupun elektronik pada ketika ini lebih mencabar terutama untuk melaporkan fakta sebenar di samping menangkis serangan penularan berita palsu di kalangan masyarakat,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 4/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!