‘Kepada Dr Samsuri, tanggungjawab lebih besar menanti’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan kesyukuran dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi di atas kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, hari ini.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pengundi atas kemenangan yang besar dalam PRK Kemaman,” ujar Presiden PAS itu dalam hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada jentera pilihan raya yang bertugas dengan penuh kesungguhan bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL.

Menurutnya, peningkatan majoriti yang lebih besar ini menjadi isyarat yang jelas penolakan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan ala-PH.

“Kepada Dr. Samsuri, tanggungjawab lebih besar menanti,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL pada PRK Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang dengan majoriti 37,220 apabila memperoleh 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi.

Kemenangan Dr Samsuri diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandatan Kemaman pada jam 10.00 malam ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, calon PAS, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu. – HARAKAHDAILY 2/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!