KEMAMAN: Impian Umno mahu merampas kerusi parlimen Kemaman melalui petisyen pilihan raya akhirnya berkubur apabila majoriti dimenangi PAS terus meningkat berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15.
Sebelum ini ia dibuktikan di parlimen Kuala Terengganu apabila majoriti diraih Datuk Ahmad Amzad Hashim meningkat kira-kira 7,000 berbanding PRU-15.
Dan hari ini ia dibuktikan lagi apabila calon PAS Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meraih majoriti jauh lebih tinggi iaitu 37,220 undi berbanding 27,179 undi pada PRU15 dan 28,000 undi ketika PRN15.
Jumlah undi yang diraihkan PAS jauh meninggalkan calon BN Jeneral (B) Raja Affandi Raja Mohamad Noor.
Malah janji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika datang membantu kempen di Kemaman seperti tidak dihiraukan rakyat Kemaman.
Berdasar keputusan yang diumumkan secara langsung dari Arena Square di Kemaman melalui Facebook PAS Kemaman BN hanya memenangi saluran mengundi masyarakat Orang Asli.
Kejayaan PAS juga dapat dilihat apabila masyarakat Tionghua di Dun Chukai semuanya dimenangi PAS berbanding sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti kecil.
Malah undi di kawasan Felda terus berpihak kepada PAS apabila memenangi kesemua peti undi di kawasan tersebut yang sebelum 2018 menjadi kubu kuat Umno.
Biarpun Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabarey Cheek dikatakan berkubu di kawasan Felda sepanjang kempen pilihan raya berlangsung, namun peneroka tetap menolak Umno dan Pakatan Harapan.
Di Felda Kerteh 5 dan Kerteh 6 bendera PAS mendominasi hampir semua kawasan berbanding poster Umno dan BN yang kelihatan seperti segan dan malu.
Yang Dipertua PAS Kemaman Che Alias Ab Hamid mengajak orang ramai melahirkan perasaan syukur dengan kemenangan yang diraihkan malam ini.
“Allah Taala sekali lagi memberi kemenangan kepada PAS. Kita diberi kemenangan kali ketiga di Kemaman.
“Allah tidak memberi kemenangan kepada Umno dan BN kerana sombong dan angkuh,” katanya ketika berucap meraikan kemenangan tersebut.
Puluhan ribu hadir mengikuti keputusan pilihan raya tersebut. Hadir sama Dr Samsuri, Ketua Penerangan PAS Pusat Ahmad Fadhli Shaari, Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Tan Sri Annuar Musa, pimpinan PAS Terengganu dan Pengerusi Bersatu Terengganu Datuk Razali Idris. – HARAKAHDAILY 2/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!