DALAM ceramah di PRK Kemaman, Perdana Menteri ke-10 (PMX) kata, “Zahid berani ambil keputusan dan istiqamah dengan keputusan.” Menarik. Sanjungan serta kasih beliau kepada Zahid Hamidi kini sangat luar biasa meskipun Zahid Hamidi tidak pernah memohon maaf atas kesilapannya terhadap rakyat Malaysia selama ini.
Soalnya, apa yang berani pada mata PMX itu? Jawapannya ialah, Zahid Hamidi berani ambil keputusan di luar tradisi seorang Presiden Umno dengan menyokong insan bernama Anwar Ibrahim sehingga berjaya menjadi PM dan istiqamah menyokong PMX sehingga hari ini.
Kata Zahid Hamidi, “Tolak PKR, DAP dan BERSATU untuk berdepan PRU sahaja, tidak terpakai pasca pilihan raya.”
Tindakan ini juga adalah sangat luar biasa kerana Zahid telah meletakkan Umno sebagai salah satu parti Melayu terbesar dalam negara ini menjadi batu loncatan kepada misi DAP untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh politik mereka dalam negara ini.
Kalau kita imbas kembali sejarah, dulu pun Zahid dengan beraninya pernah melaungkan slogan ‘No Anwar, No DAP’ tapi tidak istiqamah. Tidak istiqamah menolak Anwar.
Sebelum ini Zahid Hamidi kata dalam Perhimpunan Agung Tahunan Umno, “Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno… ‘No BERSATU, No Anwar, No DAP’!”
Pada masa yang sama Setiausaha Agung Umno juga turut mengesahkan Zahid telah bersumpah bahawa beliau tidak akan sokong Anwar menjadi PM.
Hakikatnya kita dapat lihat hari ini.
Meskipun Umno itu parti yang penuh dengan misi dan prinsip perjuangan namun sayang seribu kali sayang presidennya adalah ahli politik yang langsung tidak berprinsip.
Begitulah Umno rosak daripada dalam. Dirosakkan oleh pemimpinnya sendiri.
Ada satu lagi keberanian Zahid yang mungkin membuatkan PMX kagum. Zahid berani untuk memohon agar digugurkan kes walaupun sudah di peringkat bela diri sehingga hakim bersuara.
“Jika terdapat pendakwaan kes di masa depan, namun tidak berhasrat untuk meneruskan kes, ia akan membazirkan masa mahkamah dan wang rakyat,” – Datuk Collin Lawrence Sequerah, Hakim.
Ke mana hilangnya prinsip perjuangan PMX yang selama ini dilaungkan dalam siri ceramah-ceramah di jalanan?
Apakah selama ini hanyalah lakonan dan bersifat penipuan serta retorika ceramah untuk membeli sokongan politik semata-mata?
Sedarlah duhai Malaysia, PMX ini adalah orang yang sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kuasanya walaupun terpaksa menggadaikan prinsip dan dasar perjuangannya.
Agak-agak apa lagi perkara yang sanggup beliau jual dan gadai demi kepentingan diri beliau?
Sekian.
KAMIL ARIF BAIHAGI
Pengerusi SiswaPAS Malaysia
1 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 1/12/2023
Zahid berani rosakkan Umno
- Advertisement -