FIRMAN Allah S.W.T:
وَمَا ٱلنَّصۡرُ إِلَّا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Al-Anfal: 10)
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) dengan rendah diri menyeru kepada seluruh pengundi di P.040 Parlimen Kemaman supaya menunaikan kewajipan untuk mengundi pada Sabtu ini, 2 November 2023.
Kemenangan PAS atau PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini sangat penting bukan sahaja menghantar isyarat kepada Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim, bahkan mengetengahkan calon yang berkredibiliti ke Parlimen.
PRK Kemaman sarat dengan mesej bahawa rakyat mahukan penyelesaian tuntas terhadap permasalahan yang berbangkit, bukannya sandiwara politik seperti yang ditunjukkan oleh komponen parti PH-BN dan DAP.
DUPP tetap positif dengan aura YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pilihan utama rakyat di Kemaman. Insya-Allah Parlimen Kemaman akan kekal dengan warna hijau dengan izin Allah S.W.T.
Sayugia diingatkan juga kepada para jentera dan petugas parti supaya terus berusaha sehingga ke saat-saat terakhir dan usah sesekali meninggalkan munajat kepada Allah S.W.T. Ingatlah bahawa kemenangan itu hanyalah dari sisi-Nya.
Semoga Allah S.W.T mengurniakan kemenangan kepada PAS atau PN di PRK Kemaman insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 1/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!