ALOR SETAR: Kerajaan negeri berhak untuk memberi bantuan kepada mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil dan tidak tertakluk sekolah tertentu sahaja.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau dikecam di media berbahasa Cina, ekoran keputusannya menetapkan peruntukan RM60,000 untuk tiga sekolah berkenaan, tidak RM300,000 seperti sebelum ini.
“Kefahaman kononnya bantuan kewangan hanya kepada tiga sekolah (SKJC) secara tradisi adalah tidak adil. Kerajaan akan berlaku adil kepada semua pihak.
“Saya dikecam siang malam di media berbahasa Cina. Mujuq saya tidak pandai baca Cina,” kata beliau pada penggulungan belajawan negeri 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Aman, semalam.
Jelasnya lagi, di bawah kod pemberian, menjadi hak kepada kerajaan negeri untuk memberinya atau tidak, namun atas dasar pendidikan pihaknya meneruskan sokongan.
Malah ujar beliau, pengurangan kepada tiga sekolah berkenaan untuk membolehkan baki peruntukan itu diagihkan kepada sekolah-sekolah (SJK) lain yang lebih memerlukan.
Dalam pada itu kata Sanusi, kerajaan negeri setakat ini tidak pernah menerima ucapan terima kasih atas bantuan sebelum ini kepada SKJC.
“Saya tidak pernah dengar masyarakat Cina ucap terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan kepada sekolah-sekolah Cina.
“Malah surat khabar berbahasa Cina juga tidak ceritakan hal itu tetapi apabila bantuan itu dikurangkan, mereka bising dan komplen,” tambahnya.
Katanya lagi, sungguhpun bantuan itu di bawah kod pemberian namun beliau tidaklah berhajat bersikap seperti salah seorang ahli parlimen kerajaan sebelum ini.
“Di parlimen ada yang kata ‘ini kerajaan kami, ikut suka kamilah’ dan kata-kata itu ditular sehingga sekarang di media sosial.
“Tapi saya tidak begitu, itu contoh yang buruk. Cuma saya harap selepas ini ada ucapan terima kasih khususnya dari pihak sekolah agar kita rasa lembut hati sikit,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 30/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!