KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) meminta Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan sejauh mana kementerian tersebut melihat dedak isirong sawit (PKC) sebagai alternatif kepada jagung bijirin bagi tujuan makanan ternakan ayam-itik.
“Adakah kementerian melihat kepada satu alternatif lain di mana dalam industri kelapa sawit kita menghasilkan 2.59 juta tan PKC (dedak isirong sawit) berbanding 3.5 juta tan jagung bijirin yang kita import.
“MARDI dalam tahun 2011 membuat kajian mengatakan bahawa PKC tidak sesuai untuk poultry (ternakan ayam dan itik), tetapi untuk ruminan okay,” katanya.
Namun menurut Bakri, kajian terkini oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada tahun 2022 mengatakan bahawa hari ini mereka sudah mempunyai teknologi untuk mengatasi perkara ini.
Tambahnya, sebelum ini PKC didapati tidak sesuai kerana ini mempunyai kandungan protein rendah tapi ‘crude fiber’ yang tinggi di mana ia tidak sesuai untuk ternakan ayam-itik.
“Tetapi hari ini, teknologi dipanggil SST, ‘solid segmentation‘ yang boleh merobah menjadikan ‘crude protein’ bertambah dan ‘crude fibre’ berubah.
“Ia sangat sesuai sebenarnya dan boleh digunakan sebagai campuran makanan poultry. Soalan saya, apakah kementerian punya iktikad untuk pergi ke arah ini?” soal beliau dalam Sesi Soalan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam sesi yang sama, beliau turut meminta penjelasan kementerian itu bilakah jangkaan tempoh untuk Malaysia dapat menyediakan sendiri makanan ternakan ayam-itik bagi mengatasi masalah kekurangan import dan kenaikan harga produk tersebut.
“Kalau kita lihat daripada data yang diberi oleh Yang Berhormat tadi bahawa kita punya purata pengeluaran daripada ‘trial project’ ini cuma 3.3 tan sahaja. Sedangkan negara mengimport 3.5 juta tan jagung bijirin.
“Kalau kita lihat kita nak bangunkan sendiri kita perlu lebih kurang dalam 388 ribu hektar, baru boleh kita menampung keperluan jagung bijirin dalam industri poultry kita. Tapi saya nak tahu dengan tepat bila negara akan mencapai itu?” soal beliau lagi.
Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu membangkitkan persoalan ini sebagai tambahan kepada soalan asal beliau yang meminta Menteri KPKM menyatakan sejauh mana pencapaian projek penanaman jagung bijirin untuk kegunaan industri penternakan negara terutama ayam daging dan ayam telur bagi mengurangkan beban kos mengimport jagung yang mahal dan mempengaruhi industri ini.
Ketika menjawab soalan itu, Timbalan Menteri KPKM, Datuk Chan Foong Hin berkata, kementerian itu tidak menafikan masih terdapat jurang yang luas di antara pengeluaran berbanding matlamat untuk mencapai 30 peratus menjelang tahun 2030.
“Antara langkah yang diambil adalah dengan pengeluaran secara besar-besaran, tidak bergantung kepada petani kecil. Justeru, melalui kerjasama strategik dengan GLC dan juga syarikat swasta.
“Jadi, inilah yang kita tengah bangunkan. Dan kita tidak menafikan masih ada jurang yang luas. Dan kita melalui R&D di bawah MARDI ini PKC pun di bawah salah satu skop kajian ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023