KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan mengenai generasi penamat (GEG) digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyentuh mengenai sokongan terhadap ikhtiar GEG
Meskipun Jabatan Peguam Negara menyatakan peruntukkan itu boleh dicabar di Mahkamah, namun katanya ia bergantung kepada kesungguhan dan komitmen kerajaan melaksanakan hasrat itu.
“So nothing new (tiada benda baharu) apa yang penting adalah political will (kehendak politik), jadi menteri perlu berterus terang tentang apakah yang menyebabkan peruntukan GEG ini tidak dimasukkan dalam RUU (versi terbaharu).
“Berterus-teranglah menteri (kesihatan) kalau peruntukan GEG dikeluarkan (dari RUU terbaharu) kerana kerajaan tunduk kepada pelobi, nyatakanlah sedarkah menteri isu ini isu besar, nyatakan kebenaran,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat, di sini.
Radzi berkata sebelum RUU itu dibawa ke Dewan Rakyat ia perlu mendapat kelulusan dari Pejabat Peguam Negara bagi meneliti aspek perundangan selaras Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, aspek perundangan sudah diteliti kerana RUU tersebut dapat dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan pertama, 20 Julai 2022 dan kedua pada 20 Ogos 2022.
“Ini juga jelas bukti dalam Laporan Prosiding Mesyuarat Jawatnkuasa Pilihan Khas pada 9 Ogos 2022 Penasihat Undang-undang KKM mengesahkan ia tidak bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
“Antara anggota jawatankuasa pilihan khas itu, yang masih ada dalam dewan ini dan berada dipihak kerajaan adalah Pengerang, Sibuti, Kuching, Kuala Selangor dan Tuaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!