Bidang jahitan mampu menjana ekonomi wanita

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi meningkatkan kemahiran di kalangan pelajar Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) khususnya dalam bidang jahitan, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Tanah Merah diadakan, hari ini.

- Advertisement -

Kerajaan negeri melalui PPWK diwakili pengarahnya, Ilvira Mohd Dasuki dan Pengarah IKBN Tanah Merah, Laila Nazura Nawi.

Majlis itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim serta timbalannya, Nor Asilah Mohamed Zin.

Seramai 72 orang peserta termasuk mudarribah (guru jahitan) dan alumni PPWK telah mengikuti kursus yang dikendalikan IKBN bagi projek Pensijilan Kemahiran Malaysia secara Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT).

Rohani ketika berucap pada majlis itu berharap, lebih ramai pelatih dari PPWK dapat melanjutkan pengajian mereka hingga layak memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas ini.

Katanya, demi masa depan mereka yang lebih jauh, kerajaan negeri bersedia menaja alumni, mudarribah dan pelajar PPWK yang berkelayakan untuk mengikuti kursus itu.

“Kita percaya, bidang jahitan ini mampu menjana ekonomi wanita kita dan seterusnya memberi kesan pada sosial setempat.

“Sebab itulah, projek PPWK ini telah melalui pelbagai siri penambahbaikan dari semasa ke semasa demi kepentingan pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, Laila Nazura berkata, mungkin sekarang SKM tidak penting, disebabkan pendapatan bulanan sudah lebih daripada mencukupi.

Namun, katanya tidak salah persediaan itu dibuat bermula sekarang kerana keadaan boleh berubah.

“Mana tahu masa hadapan kita dah tak nak menjahit dah, sebaliknya nak jadi guru jahitan pula.  Masa inilah pentingnya SKM yang kita sedang usahakan sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!