Status pindaan Akta 355

Abdul Nasir Idris
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan status pindaan Akta 355 dan cabaran kerajaan dalam memperkasakan undang-undang jenayah syariah di Malaysia.

- Advertisement -

Senator Abdul Nasir Idris mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Ahli-ahli Dewan Negara daripada PAS, Bersatu dan Gerakan yang disenaraikan soalan mereka hari ini sebagaimana di bawah.

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan setakat manakah pelaburan langsung domestik yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan.

Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan hasrat Kerajaan dalam memberikan insentif berbentuk fiskal dengan harga yang munasabah kepada negeri Kedah sebagai negeri yang mengeluarkan beras terbanyak di Malaysia.

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah mekanisme yang diguna pakai oleh Kementerian dalam meneliti penawaran bidang-bidang pengajian di universiti awam dan swasta agar menepati kebolehpasaran graduan mengikut kehendak pasaran pekerjaan.

Datuk Razali bin Idris minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan jumlah peruntukan yang disediakan untuk negeri Terengganu di bawah promosi dan aktiviti pelancongan antara tahun 2015 hingga 2022 dan 10 bulan pertama tahun 2023.

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah-langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Perdana Menteri menyatakan pelan intervensi terhadap kedai makan yang tidak mempunyai sijil halal dalam penyediaan atau penggunaan bahan yang diragui status halalnya.    

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah bantuan khusus atau inisiatif yang telah disalurkan kepada pesawah yang mengalami pengurangan hasil atau kerugian akibat perubahan cuaca yang ekstrem di Kelantan.

Tuan Aknan A/L Ehtook minta Menteri Kewangan menyatakan apakah langkah yang diambil bagi mengurangkan ketirisan dalam sistem percukaian negara. Adakah Kerajaan menimbang untuk mengubah sistem percukaian sedia ada seperti mengembalikan GST.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan adakah pihak Kerajaan bercadang untuk memboikot semua jenis produk sekutu zionis Israel sebagai bukti solidariti dan kebersamaan Malaysia dalam konflik Israel-Palestin.

Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Perdana Menteri menyatakan status pindaan Akta 355 dan cabaran Kerajaan dalam memperkasakan undang-undang jenayah syariah di Malaysia.

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan sejauh mana keberkesanan inisiatif Kerajaan dalam menguruskan isu pencatutan dan monopoli barang merentasi beberapa Kementerian seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik jenayah siber mengikut kaum di Malaysia dan apakah langkah pencegahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimanakah Kerajaan melibatkan sektor swasta dan masyarakat dalam pelaksanaan matlamat pembangunan mampan (SDG).

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Ekonomi menyatakan adakah Kerajaan berhasrat untuk meneroka pelan dan strategi negara luar untuk disesuaikan dengan agenda pemerkasaan bagi pemilikan ekuiti Bumiputera yang tidak mencapai sasaran 30 peratus.

Tuan Aknan A/L Ehtook minta Menteri Sumber Manusia menyatakan bilangan pelatih berketurunan Siam mengikut negeri asal masing-masing yang telah ditawarkan kursus kemahiran mengikut pusat-pusat latihan kemahiran awam.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan sejauh mana sasaran pengeluaran pertanian setimpal dengan penerimagunaan teknologi Model Pertanian Pintar dalam sektor pertanian ketika ini.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pendidikan menyatakan secara terperinci tentang rancangan dan langkah untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru. – HARAKAHDAILY 29/11/2023