Pusat tahfiz baharu dibina di Kuala Krai, Gua Musang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM137.20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi melancarkan program pendidikan termasuk penubuhan dua maahad tahfiz yang baharu.

- Advertisement -

Dua maahad tahfiz berkenaan adalah menaik taraf SMU (A) Al-Saadah Batu Mengkebang Kuala Krai dan SMU (A) Al-Taqwa Ciku, Gua Musang.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassruddin Daud berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.4 juta untuk penubuhan dua pusat tahfiz yang baru, iaitu maahad tahfiz bagi jajahan Kuala Krai dan Gua Musang.

Beliau berkata, pencapaian tiga dekad maahad tahfiz di Kelantan merupakan iltizam dan usaha istiqamah kepimpinan kerajaan negeri bagi menyediakan pendidikan al-Quran.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Tiga Dekad Maahad Tahfiz Al Quran dan Penubuhan Mahad Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Putik, semalam. Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Wan Roslan Wan Hamat.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan pendidikan kepada rakyatnya menerusi dasar pendidikan rabbani yang bermatlamat menyediakan bukan hanya pendidikan keduniaan semata-mata, sebaliknya sepanjang hayat sebagai persiapan untuk akhirat.

“Kerajaan negeri menyedari dalam keadaan masyarakat yang dilanda arus globalisasi, lahirnya pemikiran yang bukan berpaksikan agama  seperti agenda liberal dan budaya hiburan melampau.

“Oleh kerana itu,  rakyat mestilah dididik dengan acuan al-quran,” ujarnya lagi.

Katanya, pendidikan al-Quran merupakan perkara asas dalam membina peribadi Muslim yang bertaqwa, keluarga yang harmoni, masyarakat yang hebat serta sebuah negara yang baik lagi.

Tambahnya, ini kerana, matlamat terpenting pendidikan al-Quran ialah mendidik manusia supaya mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Kerana itu, tambahnya kerana itu kerajaan negeri meletakkan sektor pendidikan adalah terpenting dalam agenda pembangunan negeri sehingga memperuntukkan jumlah terbesar daripada bajet tahunan belanjawan negeri pada setiap tahun.

Katanya lagi, dalam menghadapi arus globalisasi yang penuh dengan cabaran baru,  diharapkan maahad tahfiz berupaya mendepani cabaran tersebut menerusi lahirnya modal insan untuk berkhidmat dalam masyarakat, memimpin masyarakat serta dapat menentukan halatuju negara.

“Saya bersyukur kerana pelbagai langkah positif dan proaktif telah diambil bagi meningkatkan pencapaian kualiti maahad tahfiz di bawah YIK.

“Sejarah hari ini, iaitu satu tahfiz di peringkat jajahan akan dapat direalisasikan di samping kejayaan mewujudkan seorng hufaz pada setiap rumah,” ujarnya.

Namun bagaimanapun, katanya masih banyak ruang dan peluang yang perlu diperkasakan bagi memantapkan institusi tahfiz sebagai institusi pengajian Islam yang dinamik dan cemerlang di peringkat Asia Tenggara dan global. – HARAKAHDAILY 29/11/2023