Projek Ladang Solar sumbang RM1,387,597 setahun

Mohamad Yusoff@Munir Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Projek Ladang Solar di seluruh Kedah membawa hasil RM1,387,597 setahun melalui permohonan permit sementara dan cukai tanah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, pendapatan berkenaan berdasarkan perkhidmatan solar yang diluluskan bermula 2016 hingga 2022.

“Setakat ini 222 syarikat solar yang mengusahakan ladang solar di seluruh Kedah dan memberi pendapatan melalui permit sementara dan cukai tanah sebanyak RM1,387,597 juta setahun,” jelas beliau semasa menjawab soalan Dr Ts Muhammad Suffian Yusoff (PAS-Bandar Baru) pada persdiangan DUN Kedah, hari ini.

Kata beliau, bukan hanya kerajaan negeri yang mendapat manfaat dari projek ladang berkenaan, malah golongan B40 (kurang berkemampuan) juga menerima faedahnya.

Katanya, antara lain, kawasan ‘buffer zone’ yang berkeluasan sehingga 40 ekar boleh dimanfaat oleh golongan terbabit untuk mengusahakan tanaman kontan.

Malah ujar Yusoff dalam masa yang sama, syarikat ladang solar itu juga melakukan khidmat masyarakat serta menyumbang tenaga solar secara percuma kepada beberapa masjid dan sekolah.

“Ladang solar juga membuka peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan,” katanya lagi.

Sungguhpun begitu tambahnya buat masa ini kerajaan negeri belum lagi menyediakan peruntukan untuk menyediakan tiang-tiang lampu jalan solar khususnya di kawasan kampung dan pendalaman.

Khidmat tersebut jelas beliau adalah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, namun Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) boleh menggunakan inisiatif sendiri untuk membantu masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Kos satu tiang lampu solar tidaklah mahal. Cuma RM500 sahaja. Adun boleh guna peruntukan sendiri untuk membantu kampung yang memerlukan di DUN masing-masing,” ujar Adun Kuala Nerang itu lagi.

Mengulas lanjut, jelasnya, di Kedah hanya memerlukan kira-kira 4.8 jam berbanding negeri lain (enam jam) untuk menyerap serta mengumpul tenaga solar sebelum ia boleh digunakan. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!