Perluas pemeriksaan mamogram ke luar bandar, pedalaman

Zuraida Md Noor
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mencadangkan agar diluaskan lagi kaedah program pemeriksaan mamogram di kawasan luar bandar atau pedalaman.

- Advertisement -

Kata beliau, pemeriksaan itu diadakan dengan kerjasama pihak hospital yang mempunyai peralatan pemeriksaan mamogram secara mobil atau secara bergerak.

“Terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang meneruskan program pemeriksaan mamogram dan pap smear secara percuma kepada wanita B40 di Negeri Terengganu.

“Kita sedia maklum bahawa kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak mengorbankan nyawa kaum wanita di negara kita.

“Statistik terkini mencatatkan satu daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, pencegahan awal melalui pemeriksaan mamogram sangat berkesan dan perlu disediakan kepada kaum wanita terutamanya kepada yang mempunyai faktor risiko yang tinggi terhadap penyakit itu.

Jelas beliau, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019 menunjukkan kira-kira 75 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas di Malaysia tidak pernah menjalani pemeriksaan mamogram sekali gus memperlihatkan tahap kesedaran yang masih rendah.

“Di negeri Terengganu, pusat-pusat perubatan yang menyediakan pemeriksaan mamogram terletak di pusat bandar dan keadaan ini menyukarkan golongan wanita yang tinggal di pedalaman atau luar bandar untuk membuat pemeriksaan.

“Pelaksanaan sebelum ini, selepas mereka membuat saringan kelayakan, mereka yang terpilih akan ke hospital di sekitar bandar Kuala Terengganu untuk membuat pemeriksaan mamogram.

“Ini menyulitkan bagi wanita-wanita yang berada di luar bandar dan pedalaman serta jauh dari bandar Kuala Terengganu. Masalah pengangkutan, jarak yang jauh, kos perjalanan yang besar menyebabkan wanita ini tidak bersungguh dan menangguh untuk membuat pemeriksaan mamogram,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Adun wanita tunggal di DUN Terengganu berkata, dengan adanya kaedah mobil itu, wanita di luar bandar tidak perlu lagi membuat pemeriksaan mamogram di bandar Kuala Terengganu.

“Semoga dengan usaha secara menyeluruh ini, diharapkan mampu mengurangkan statistik pesakit kanser payu dara di negara kita dan negeri Terengganu khususnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!