Penduduk Kuala Besut merungut pendatang asing ramai

Azbi Salleh
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penduduk Kuala Besut tidak senang dengan kehadiran ramai pendatang asing di situ.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, berbagai rungutan didengari dari kalangan penduduk tempatan berhubung kehadiran pendatang asing.

“Penglibatan pendatang warga asing dalam dua sektor iaitu perniagaan dan pembinaan.

“Perniagaan, kedai runcit 24 jam sedang tumbuh dengan pesat. Mohon pihak berkuasa tempatan menyiasat dan mengambil tindakan.

“Di sektor pembinaan pula memang ramai yang terlibat. Ia juga menyumbang kepada masalah sosial dalam masyarakat. Tidak pasti mereka ini datang bekerja secara sah atau tidak,” katanya semasa membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau turut menyentuh mengenai kawasan perindustrian Gong Medang, Besut dan banyak lagi kawasan yang dikhaskan untuk didirikan kilang-kilang.

“Kerajaan perlu mencari pelabur-pelabur tempatan atau luar negara untuk bertapak di sini. Sekarang hanya kilang papan dan perabot sahaja yang beroperasi.

“Sekiranya kilang-kilang baru dapat didirikan maka peluang pekerjaan dapat disediakan kepada penduduk tempatan dan mengurangkan masalah pengangguran terutama golongan belia,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!