KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan tentang larangan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melibatkan diri dalam mana-mana parti politik secara aktif.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) menyatakan bahawa beliau tidak menafikan perkara tersebut adalah untuk memastikan sikap berkecuali dapat dilaksanakan dalam menjalankan sebarang tugasan.
Beliau berkata, undang-undang tersebut juga untuk memastikan supaya tiada sebarang konflik berkepentingan (conflict of interest) untuk berlaku.
“Namun begitu, perkara tersebut hanya akan menafikan kepakaran dan khidmat yang diberikan kepada individu-individu tertentu hanya kerana beliau terlibat dalam arena politik,” katanya dalam Sesi Perbahasan Pindaan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurut beliau, perkara tersebut perlu ditafsirkan semula dengan lebih terperinci lebih-lebih lagi mengenai maksud perkataan ‘terlibat secara aktif dalam politik’ yang dilarang oleh suruhanjaya tersebut.
Kata beliau, ini kerana maksud perkataan tersebut terlalu luas yang mana adakah memegang jawatan yang kecil di peringkat cawangan sesebuah parti politik juga sudah dikira aktif atau sebaliknya.
“Kalau ini berlaku maka sekaligus ia menafikan hak warganegara Malaysia untuk terlibat dengan mana-mana persatuan dan kebebasan untuk menyertai pertubuhan,” tegasnya.
Beliau sehubungan itu berharap perkara tersebut dapat diperincikan semula oleh pihak kerajaan dalam melakukan pindaan undang-undang tersebut supaya dapat memelihara keadilan yang sewajarnya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!