KUALA LUMPUR: Apakah langkah yang diambil pihak kerajaan bagi memastikan kanak-kanak di bawah penjagaan ‘ibu bapa jagaan’ atau golongan yang layak dijaga dengan baik?
Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata, keselamatan kanak-kanak perlu dijamin oleh ibu bapa jagaan atau orang yang layak lebih-lebih lagi apabila banyak kes penderaan kanak-kanak berlaku sejak akhir-akhir ini.
Beliau menegaskan supaya perkara tersebut tidak akan sesekali terus berulang pada masa-masa yang akan datang terhadap kanak-kanak tersebut.
“Jadi soalan saya, apakah langkah kerajaan mengenai perkara tersebut selepas penempatan kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa jagaan atau orang yang layak seperti yang disebut sebentar tadi?” katanya dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri dalam jawapannya menyatakan berkata, garis panduan (SOP) telah disediakan kepada ibu bapa pelihara selepas penempatan tersebut dibuat.
Menurut beliau, setiap tiga bulan akan diadakan penyeliaan terhadap kanak-kanak tersebut dan juga ibu bapa jagaan atau orang yang layak mengikut tempoh perintah mahkamah.
“Janji temu akan dibuat oleh ibu bapa atau penjaga ini bersama Jabatan Keluarga dan Masyarakat (JKM) sama ada mereka bersama-sama kanak-kanak tersebut akan hadir ke Pejabat JKM ataupun JKM yang akan membuat lawatan ke rumah mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!