Tangani masalah infrastruktur rakyat di pedalaman 

Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak kerajaan perlu menyelesaikan dan menitikberatkan kemudahan infrastruktur kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman.

Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata, hampir 17 tahun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ditubuhkan, namun masalah bekalan air bersih di negara kita masih membebani rakyat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.  

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 yang berlangsung di Dewan Negara, hari ini.

Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654) memperuntukkan fungsi suruhanjaya seperti yang berikut.  

“Melaksanakan dan menguatkuasa undang-undang perkhidmatan bekalan air dan pembentungan dan menimbang dan mengesyorkan pembaharuan kepada undang-undang perkhidmatan bekalan air dan pembentungan.

“Memastikan daya pengeluaran industri perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembentungan dan memantau pengendali mematuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan, obligasi kontrak dan undang-undang dan garis panduan yang berkaitan.

“Menasihati Menteri tentang mekanisme yang adil dan cekap bagi menentukan tarif yang adil kepada kedua-dua pengguna dan pemegang lesen dan melaksanakan tarif yang telah ditetapkan melalui mekanisme dan alat yang sesuai,” jelasnya.  

Wan Martina turut berkata, melalui pindaan akta ini, diharapkan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan menjadi lebih cekap dan efisyen. 

Penglibatan pihak suruhanjaya dan operator bekalan air memainkan peranan penting dalam menangani masalah paip uzur.

“Jangka hayat paip 25 tahun, tetapi usia paip yang menyalurkan air di Malaysia rata-rata sudah mencecah 40 tahun ke atas. 

“Di Kelantan, 60 peratus paip adalah jenis AC (Asbestos Cement) yang berusia lebih daripada 50 tahun. 

“Sekiranya paip di seluruh negara tidak diganti dan terus ditangguh, kos penggantian saban tahun semakin meningkat dan masalah perkhidmatan bekalan air semakin meruncing,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, sistem perpaipan uzur yang menjangkau usia 50 tahun di beberapa negeri turut menjadi punca utama kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi sehingga mengakibatkan Malaysia kerugian secara purata RM2 bilion setahun. 

Lebih memburukkan keadaan apabila paip itu turut pecah sama ada disengajakan atau tidak, disebabkan kemalangan, pembinaan bangunan dan lebuh raya.

Menurut laporan NRW yang berakhir Oktober 2023, kadar NRW di Kelantan dianggarkan sebanyak 53 peratus.

Keadaan ini menyebabkan bekalan air yang sepatutnya sampai di pili air rumah adalah tidak sampai sepenuhnya dan tidak mencukupi.

Wan Martina turut memberitahu bahawa beberapa faktor menyebabkan berlakunya ‘Non Revenue Water’ (NRW). 

Antaranya disebabkan oleh kebocoran paip atau tangki akibat paip lama yang tidak dbaiki dan keadaan meter air yang tidak berfungsi dengan baik kerana rosak, tersekat atau telah dimanipulasi.

Katanya lagi, sebagai contohnya ialah  di Kelantan. 

“Kadar NRW yang tertinggi adalah di Kawasan Bachok iaitu sebanyak 64.9 peratus; Tanah Merah 63.3 peratus; Kuala Krai 58.3 peratus; Pasir Mas 56.8 peratus; Kota Bharu 54.1 peratus; Tumpat 51.1 peratus; Machang 44.2 peratus; Gua Musang  45.1 peratus dan Pasir Puteh 48.3 peratus. 

“Sehingga kini, kemajuan semasa pakej 1, penukaran paip sejauh 104 km sebanyak 69.68 peratus dan Pakej 2, kemajuan semasa sebanyak 27.7 peratus dengan jajaran paip sebanyak 113 km yang melibatkan KT01 Kubang Kerian Jaya dan KBT02- Telok,” kongsi beliau.

Justeru, beliau berharap agar projek ini dapat dipercepatkan bagi memberi keselesaan kepada rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.  HARAKAHDAILY 28/11/2023