Apa komitmen kerajaan bagi kawasan parlimen dilanda banjir?

Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda di Pantai Timur dijangka berakhir pada tahun depan memberi kesan kepada rakyat terutama dalam aspek mata pencarian penduduk.

Sehubungan itu, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) membangkitkan mengenai komitmen kerajaan untuk menyalurkan peruntukan kepada kawasan parlimen dilanda banjir.

- Advertisement -

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu dapat diterjemahkan maka ramai mangsa banjir khususnya yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diberikan bantuan segera.

“Jadi, saya ingin tahun apakah bantuan segera terutama kepada petani, nelayan dan penternak yang kehilangan hasil dan usaha mereka musnah akibat banjir pada kali ini. 

“Dan adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan, memberi peruntukan khas terutamanya kawasan ahli parlimen yang setiap tahun berhadapan dengan bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri oleh Dato’ Shamshulkahar Mohd Deli (PH-Jempol) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sementara itu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sudah mempertingkatkan persediaan termasuk bantuan.

Beliau berkata, Kelantan yang merupakan salah sebuah negeri yang paling teruk terjejas dengan bencana tersebut turut diberikan perhatian khusus oleh kerajaan persekutuan.

Menurutnya, kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetap melaksanakan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) yang sudah memasuki fasa kedua tebatan banjir.

“Projek di Kelantan memang diberikan keutamaan kerana kesan banjir itu jauh lebih parah, ia termasuk juga projek PLSB Fasa dua dan projek menangani banjir di Kota Bharu.

“Mengenai bantuan walaupun kita ada bantuan ini yang sudah pun diluluskan tetapi saya ambil kira pandangan Rantau Panjang, saya akan pastikan mereka ini mendapat ganti rugi,” katanya.  HARAKAHDAILY 28/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!