Teknologi AI perlukan peranan Jawatankuasa MKI

Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perkembangan sains dan teknologi yang semakin canggih termasuk timbul teknologi baharu yang dikenali kecerdasan buatan (AI) memerlukan  keputusan kerajaan melalui peranan Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial menggunakan teknologi tersebut untuk membuat konten yang mengelirukan umat Islam, malah lebih berat ada juga membuat kenyataan bercanggah dengan agama Islam.

- Advertisement -

Menurut beliau, kini sudah tiba masanya kerajaan melalui Jawatankuasa MKI mengeluarkan satu fatwa atau keputusan sama ada teknologi tersebut boleh digunakan atau pun tidak agar ia tidak terus mengelirukan pandangan dan seterusnya memesongkan akidah umat Islam.

“(Saya)n Minta Perdana Menteri menyatakan adakah isu penggunaan teknologi kecerdasan buatan Ai daripada sudut pandangan agama Islam ini akan dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI,” katanya pada sesi soalan lisan di persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Moktar dalam hujahnya berkata, kerajaan amat menyedari perkembangan dan kepesatan sains dan teknologi yang memberi kesan yang sangat besar kepada semua aspek kehidupan manusia pada ketika ini.

“Ia termasuk perkembangan teknologi AI yang merupakan satu sistem yang menggunakan aplikasi komputer dan robotik untuk bertindakan seakan-akan manusia dari emosi sehingga keupayaan mengingati sesuai, yang digunakan dalam semua bidang termasuk pendidikan,” jelasnya.

Malah katanya lagi, Islam tidak pernah melarang serta tidak menghalang manusia membangunkan kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu termasuk sains dan teknologi, ia juga merupakan satu tuntutan, fardhu kifayah bagi meningkatkan kualiti kehidupan manusia.

“Ulama fiqh meletakkan asas berhadapan hal ini, mereka berpandangan dengan tidak meletakkan sangkaan awal pada sesuatu hal melainkan telah meneliti dengan pandangan keseluruhan, oleh itu perkembangan awal pandangan teknologi perlu dinilai secara neutral tidak berat sebelah.

“Oleh itu sebarang isu berkaitan ai tersebut perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum melihat kepada pelbagai manfaat yang akan diperolehi, permasalahan yang timbul pada teknologi ini perlu perhalusi apabila berlaku pertembungan antara keburukan dan kebaikan,” katanya.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!