KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi jaminan akan terus menghormati hak dan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun perubahan teraju Kerajaan Persekutuan sejak akhir November tahun lalu mencetuskan gangguan terhadap amalan federalisme sehingga memberikan kesan yang tidak sedikit kepada kelancaran pentadbiran kerajaan negeri, saya memberikan jaminan bahawa kita akan terus menghormati hak dan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara negeri dan Persekutuan,” ujarnya semasa membentangkan Belanjawan 2024 negeri pada persidangan DUN di sini, hari ini.
Katanya, pada masa yang sama negeri juga mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan turut menghormati tanggungjawabnya selaras dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan.
Hal itu, ujarnya adalah soal asas dan prinsip, jika bersikap sebaliknya atas rasa curiga, ragu-ragu atau takut negeri menjadi maju dan kuat pula, ia adalah langkah ke belakang dalam membina sebuah negara Malaysia yang merdeka.
“Ya, saya lebih sukakan pendekatan ‘bincang-bincang’ sama ada secara formal atau tidak formal kerana kita semua sama ada negeri atau Persekutuan berdepan dengan tanggungjawab menjaga rakyat tanpa mengira fahaman atau undi parti politik dalam pilihan raya.
“Jangan sampai tindakan menyempitkan hasil royalti atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang sedang berlaku ketika ini boleh menyebabkan mungkin akan ada rakyat Terengganu bangun dari ‘hibernasi’ mereka sehingga boleh berjangkit ke seluruh negara dalam gelombang yang kita semua tidak tahu kesannya,” ujarnya lagi.
Beliau yang juga ADUN Ru Rendang turut menyentuh slogan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ akan terus diterjemahkan dengan pelbagai pendekatan demi melahirkan masyarakat yang faham dan beramal dengan agama serta menjadi pembela agama.
Katanya, masjid selain menjadi pusat ibadah, ia akan diperkasakan sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan, bahkan, di masjid jugalah hal ehwal pentadbiran kampung dijalankan.
Tambahnya, selain meneruskan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf masjid-masjid sedia ada di seluruh negeri, kerajaan juga akan melaksanakan kerja-kerja awal pembinaan masjid negeri yang baharu berkonsepkan smart township mosque dan menjadi pusat bagi Bandar Baru Bukit Besar.
Katanya lagi, program-program dakwah selain untuk meningkatkan penghayatan beragama dalam kalangan masyarakat, ia juga akan diperkasakan untuk menarik lebih ramai pengunjung menerusi konsep pelancongan dakwah.
“Majlis ilmu, sambutan hari kebesaran Islam, kempen kesedaran perjuangan umat Islam serta tapak dan mercu tanda sejarah Islam di negeri ini akan disinergikan sebagai produk pelancongan dan dimasukkan dalam Calendar of Events 2024,” ujarnya.– HARAKAHDAILY 27/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!