PADA hari Khamis baru-baru ini, saya mengambil kesempatan untuk berbahas di dalam slot perbahasan Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya di peringkat Jawatankuasa. Saya menyebut mengenai peri pentingnya Kerajaan Malaysia untuk menghalang sebarang pertandingan ratu cantik diadakan di dalam negara kita. Bantahan saya ini wujud berdasarkan motif pertandingan ini yang mengeksploitasi tubuh wanita secara sewenang-wenangnya di tempat terbuka apatah lagi saya dikhabarkan satu pertandingan ratu cantik dijadualkan akan berlangsung di dalam negara kita pada 12 Disember tahun ini.
Walaupun hujahan saya berkenaan isu ini dibantah secara keras oleh beberapa Ahli Parlimen kerajaan ketika slot perbahasan tersebut, saya ingin menyatakan saya tetap kekal dengan pendirian saya ini berdasarkan nilai-nilai dan syariat agama Islam melarang pertandingan ini diadakan. Ahli-ahli Parlimen yang membantah tersebut mungkin lupa bahawa sehingga kini Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Jadi, tiada salahnya bagi saya selaku salah seorang penggubal undang-undang untuk mempertahankan nilai yang diamalkan oleh agama rasmi Persekutuan.
Selain itu, pertandingan ratu cantik patut dilarang di semua peringkat kerana ia dilihat hanya menguntungkan sebilangan syarikat penaja untuk tujuan meraih keuntungan melalui peserta pertandingan yang diperaga. Justifikasi yang paling kuat dalam melarang pertandingan seumpama ini ialah tubuh wanita tidak sepatutnya menjadi barangan murahan untuk ditontoni oleh semua hanya untuk tujuan mendapat gelaran. Saya berpendapat maruah wanita sepatutnya dilindungi dan dipelihara serta dihormati.
Saya juga ingin menyatakan sudah wujud beberapa tempat di atas dunia seperti beberapa buah negeri di India seperti Manipur dan Uttar Pradesh mewartakan bahawa pertandingan ratu cantik diharamkan dan tidak dibenarkan bertapak untuk mengadakan acara yang mengeksploitasi tubuh wanita secara terbuka demikian juga dilarang sama sekali untuk dianjurkan di beberapa tempat di Argentina. Jika negeri-negeri di India dan Argentina yang tidak mempunyai majoriti rakyat beragama Islam menyekat pertandingan ini, mengapakah Malaysia selaku negara Islam yang terkemuka perlu membenarkan pertandingan ini diadakan?
Saya berpendapat bahawa jika pertandingan ini diadakan bagi menarik minat pelancong asing ke negara kita, saya berani mengatakan bahawa negara kita sejak sekian lama telah mempunyai 1,001 kelebihan dari segi tempat tarikan pelancongan dan tarikan pelbagai budaya yang sesuai untuk dipamerkan dan menjadi pilihan orang luar untuk datang dan melancong ke dalam negara kita. Yang ingin disaksikan oleh pelancong-pelancong ialah tempat-tempat menarik, budaya hidup, warisan dan nilai-nilai hidup yang baik di negara kita. Bukanlah budaya asing yang dibawa ke mari.
Saya berharap Kerajaan Persekutuan bertegas dan tidak berlembut dalam menyekat pertandingan yang tidak bermoral ini dan berpotensi menyumbang ke arah keruntuhan akhlak dan jiwa masyarakat negara kita.
“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”
YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit
27 November 2023| 12 Jamadilawal 1445H – HARAKAHDAILY 27/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!