‘Campur tangan politik bakal rosakkan agenda KPM’

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Campur tangan politik dalam sistem pendidikan negara bakal merosakkan agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melaksanakan pentadbiran sekolah mampan dan kemenjadian pelajar.

Dato’ Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, desakan perwakilan PKR Johor pada Kongres PKR di Putrajaya baru-baru ini merupakan permulaan kepada campur tangan tersebut.

- Advertisement -

Beliau berkata, sehingga kini belum ada kenyataan media dikeluarkan untuk menafikan langkah pembentukan jawatankuasa khas untuk memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.

“Sehingga kini, tiada pembetulan dibuat dan saya bimbang ini adalah satu perkara yang akan menjadi ‘flood gate’ kepada kerosakan campur tangan politik dalam sistem pendidikan negara.

“Apa yang pasti, tindakan ini akan menjahanamkan masa depan pendidikan negara,” katanya pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa KPM di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata lagi, sekiranya desakan tersebut dilaksanakan, ia akam memberi bukti kepada rakyat, kerajaan pada hari ini melaksanakan reformasi kuku besi.

“Apa guna laungan reformasi dilaung-laungkan untuk memberi kebebasan kepada sistem pendidikan tanpa campur tangan politik, tetapi cara lama itu masih diteruskan,” tegas beliau.

Menurutnya, tidak menjadi masalah kepada guru selagi mereka melaksanakan tugas hakiki dengan baik iaitu mengutamakan kualiti pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar.

“Apa guna kerajaan dahulu berguling-guling melawan zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) menuntut hak kebebasan pendidikan jika kerajaan mengamalkan dasar kuku besi kepada pendidik.

“Tiada masalah jika mereka ingin menyokong mana pihak kerajaan mahupun pembangkang, pihak kementerian seharusnya memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti ini,” katanya.  HARAKAHDAILY 27/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!