Apa langkah lonjakkan kualiti kehidupan warga pangsapuri B40?

Wan Razali Wan Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menjelaskan perancangan jangka sederhana dan panjang dalam melonjakkan kualiti kehidupan penduduk pangsapuri B40.

Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkata beliau ada mendengar pihak kerajaan telah mengenalpasti beberapa pangsapuri yang perlu dinaiktaraf.

Menurut beliau, peruntukan juga telah ditambah oleh pihak kerajaan mengenai isu tersebut.

- Advertisement -

“Soalan saya, apakah perancangan jangka sederhana dan jangka panjang kerajaan dalam melonjakkan kehidupan penduduk di pangsapuri kos rendah termasuk aspek kesihatan mentak bagi komuniti tersebut?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat,di sini,  hari ini.

Bagi menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyatakan pembinaan kemudahan komunal atau komuniti akan diadakan bagi pembangunan perumahan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan.

“Cuma untuk projek perumahan sedia ada kita menubuhkan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) bagi menyelenggara keadaan yang mungkin terkesan teruk dan kita akan salurkan melalui agensi, lembaga perumahan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kerajaan akan sentiasa berusaha sebaik mungkin dalam membantu dalam isu ini kerana tanggapan bahawa tiada sebarang tindakan dilakukan oleh peringkat KPKT adalah tidak benar,” katanya.  HARAKAHDAILY 27/11/2023