
AHMEDABAB: Seramai 24 orang maut akibat dipanah petir dan kira-kira 23 lagi cedera dalam insiden berkaitan hujan di negeri Gujerat di barat India sejak dua hari lalu.
Negeri itu dilanda hujan lebat disertai ribut petir dan hujan batu pada Ahad (26 Nov)dan hari ini, Isnin (27 Nov), dengan beberapa tempat menerima hujan sehingga 144 mm (5.7 inci) dalam tempoh 24 jam berakhir pagi Isnin, menurut data kerajaan negeri.
Kerajaan negeri berkata, hujan telah menyebabkan kerosakan rumah dan kehilangan haiwan ternakan lembu di seluruh negeri, lapor Al Arabiya News.
“Kami akan memulakan tinjauan tidak lama lagi untuk menilai kerugian yang dialami,” kata Menteri Pertanian Gujerat, Raghavij Patel pada Isnin, sambil menambah bahawa pampasan akan dibayar kepada mangsa berdasarkan keputusan tinjauan.
Jabatan Meteorologi India (IMD) pula meramalkan hujan akan berterusan di beberapa bahagian negeri itu pada Isnin.
Gujerat tidak asing dengan bencana yang berkaitan dengan hujan. Pada Ogos 2020, 14 orang maut di negeri ini dalam tempoh dua hari sahaja dalam pelbagai kejadian berkaitan hujan lebat dan banjir.
Setahun sebelumnya, pada Ogos 2019, 31 orang maut di negeri ini dalam kejadian berkaitan hujan. – HARAKAHDAILY 27/11/2023