KEMAMAN: “Alhamdulillah, semakin hari perjuangan PAS semakin mendapat tempat dihati rakyat,” ujar Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, dalam program ziarah kempen PRK di UDM Rantau Petronas dan juga Batu Putih sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, beliau telah menerima sebanyak 35 borang permohonan keahlian PAS.
Turut serta pada program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.
Katanya, mereka terdiri daripada Wanita, Puteri dan Pemuda Umno.
“Mereka meyakini PAS adalah sebuah jamaah yang mampu menyatukan rakyat dan membawa kebaikan serta kesejahteraan rakyat.
“Semoga kita semua istiqamah dalam perjuangan membina sebuah negara sejahtera,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menerusi hantaran di laman Facebook.
Pada PRK Kemaman, PAS menampilkan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon yang mewakili PERIKATAN NASIONAL yang berdepan dengan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.
Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL, Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.
Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih. – HARAKAHDAILY 26/11/2023