
SEMENANJUNG GAZA: Tentera darat Zionis Israel menembak penduduk Gaza yang kini cuba pulang ke kediaman mereka di utara Gaza ketika gencatan senjata empat hari yang diuruskan oleh Qatar berkuat kuasa pada pagi hari ini, Jumaat (24 Nov).
Israel mendakwa bahawa utara Gaza berada di luar sempadan ketika penduduk Palestin yang kini menjadi pelarian selepas kehilangan tempat tinggal cuba menggunakan jeda dalam pertempuran untuk pulang ke rumah mereka.
Sebilangan besar orang yang kehilangan tempat tinggal cuba pulang ke tanah air di seluruh Gaza ketika gencatan senjata empat hari itu, namun Israel telah memberi amaran kepada orang ramai bahawa mereka tidak akan dibenarkan memasuki utara kawasan yang dilanda perang itu.
Video yang dirakam Al Jazeera menunjukkan rakyat Palestin pulang ke rumah mereka di Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza, walaupun tentera Israel mendesak bahawa ia adalah zon tempur.
Sementara, BBC turut melaporkan perkara yang sama melalui siaran secara langsung.
Tentera Israel telah berkata bahawa ia menjangkakan Hamas akan cuba menggalakkan atau mendorong orang awam untuk kembali ke bahagian utara Semenanjung Gaza, dan mereka bersedia untuk menghalangnya daripada berlaku, lapor Al Jazeera di Baitulmaqdis Timur.
Memetik saksi, agensi berita Palestin Wafa berkata bahawa tujuh orang cedera ditembak oleh tentera Israel ketika mereka cuba pergi ke utara Gaza.
Beberapa orang yang cedera dan dibawa pulang ke hospital di selatan wilayah itu, lapor Al Jazeera dari Khan Younis di selatan Gaza. – HARAKAHDAILY 24/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!