
BEIJING: China melaporkan bahawa tiada ‘patogen luar biasa atau baharu’ susulan penularan penyakit pernafasan di utara negara itu.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis (23 Nov) berkata, pihak berkuasa China telah bertindak balas, dengan mengeluarkan kenyataan bahawa ‘tidak ada pengesanan sebarang patogen luar biasa atau baharu, atau pesakit yang dirawat di klinik’, termasuk di Beijing dan Liaoning.
“Ia adalah berkenaan peningkatan umum dalam bilangan penyakit pernafasan akibat pelbagai patogen yang diketahui,” ujar kenyataan itu, lapor AFP.
Terdahulu, wilayah utara China telah mencatatkan peningkatan dalam bilangan ‘penyakit mirip influenza’ sejak pertengahan Okt tahun ini jika dibandingkan dengan tempoh yang sama dalam tempoh tiga tahun sebelumnya; dan WHO yang telah meminta lebih banyak maklumat mengenai situasi itu.
Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China memberitahu media pada minggu lalu bahawa peningkatan penyakit pernafasan tersebut adalah disebabkan penarikan semula sekatan Covid-19 dan penularan patogen yang diketahui, iaitu influenza dan jangkitan bakteria biasa yang menjejaskan kanak-kanak, termasuk mycoplasma pneumonia.
Ibu kota China, Beijing, yang terletak di utara negara itu, ketika ini mengalami cuaca sejuk, dengan suhu dijangka menjunam ke bawah sifar menjelang hari ini, Jumaat (24 Nov).
Timbalan Pengarah dan Ketua Pakar Epidemiologi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Beijing,Wang Quanyi dalam kenyataan medianya berkata, bandar raya itu telah ‘mengalami musim penyakit berjangkit pernafasan yang tinggi’.
“Beijing pada ketika ini menunjukkan trend pelbagai patogen yang wujud bersama,” katanya.
Pada Khamis, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China menerbitkan temu bual dengan agensi media negara Xinhua, yang menasihati golongan ibu bapa tentang apa yang perlu dilakukan dan menyebut bahawa hospital besar menerima sejumlah besar pesakit dan masa menunggu adalah panjang.
Kluster radang paru-paru
Pada 21 Nov lalu, media dan sistem pengawasan penyakit awam ProMED melaporkan kluster radang paru-paru yang tidak didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak di utara China.
WHO berkata adalah tidak jelas sama ada laporan ProMED berkaitan dengan sidang media pihak berkuasa itu dan ia sedang mendapatkan penjelasan.
Tambah kenyataan itu, agensi berkenaan juga telah meminta maklumat tambahan mengenai trend terkini dalam penularan patogen yang diketahui, termasuk influenza, SARS-CoV-2 (virus yang menimbulkan Covid-19), RSV yang menjejaskan bayi dan Mycoplasma pneumoniae, serta pada tahap kesesakan dalam sistem kesihatan.
Sehubungan itu, ia menggesa orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan, termasuk mendapatkan vaksin, menjaga jarak daripada orang yang sakit dan memakai topeng.
Punca Covid-19 masih misteri
Sepanjang tempoh pandemik Covid-19 lalu, WHO berulang kali mengkritik pihak berkuasa China kerana kekurangan ketelusan dan kerjasama mereka.
Lebih tiga tahun selepas kes pertama kali dikesan di Wuhan, perdebatan hangat masih berlaku di sekitar asal-usul Covid-19.
Kumpulan saintis terbahagi antara dua teori utama penyebabnya, sama ada tersebar dari makmal di bandar tempat virus seperti itu dikaji; atau haiwan perantaraan yang menjangkiti orang ramai di pasar tempatan.
Pada awal tahun ini, pakar WHO berkata, mereka yakin bahawa Beijing mempunyai lebih banyak data yang boleh menjelaskan asal-usul Covid-19, dan menyebutnya sebagai satu kewajiban moral untuk maklumat itu dikongsi.
Pasukan pakar yang diketuai oleh WHO dan diiringi oleh rakan sekerja China menyiasat China pada awal 2021, tetapi tidak ada pasukan yang dapat kembali dengan data yang diperlukan sejak itu; dan pegawai WHO telah berulang kali meminta data tambahan.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus telah menegaskan bahawa menyelesaikan misteri itu dapat membantu mengelak wabak penyakit lain pada masa depan. – HARAKAHDAILY 24/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!