Jangan terperangkap agenda musuh cuba kongkong masjid

- Advertisement -

MERBOK: Masjid sama sekali jangan dikongkong yakni diikat secara tidak munasabah hingga membendung dan mengekang peranannya dalam mengembangkan Islam secara terbuka dan sihat kepada masyarakat. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan para penggerak masjid agar tidak terperangkap dengan agenda musuh yang mempunyai pemikiran bahaya terhadap Islam dengan menyebarkan tanggapan tertentu.

“Mungkinlah kerana kepentingan-kepentingan tertentu, maka kita yang rapat dengan masjid, sentiasa berada di masjid, sering mengimarahkan masjid, dianggap mempergunakan agama, dianggap mempergunakan masjid untuk kepentingan-kepentingan lain.

“Sebenarnya masjid itulah fungsi dia,” ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Sambutan 10 Tahun Masjid Andalusia, Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, dunia telah bergerak ke arah keterbukaan kerana pemikiran, minda, maklumat, informasi serta ilmu manusia yang semakin bertambah di mana masjid dan institusinya perlulah seiring.

Serunya, masjid dan institusi-institusi berkaitan masjid mesti juga terbuka dalam melihat perkembangan lebih sihat ini untuk memberi kebebasan kepada fikiran minda masyarakat membuat pertimbangan-pertimbangan.

Beliau turut menyangkal tanggapan dicipta pihak-pihak tertentu dengan memprejudiskan hal berkaitan Islam dibicarakan terbuka di semua tempat hingga menimbulkan dakwaan menjana perpecahan. 

“Sebenarnya perpaduan, solidariti, setia kawan dalam kalangan umat Islam hanya boleh atas nama Islam itu sendiri. Tidak ada apa yang lain, yang lebih baik, lebih unggul daripada Islam untuk menyatupadukan umat Islam di negara ini,” tegasnya.

Kedah katanya, mempunyai 578 masjid iaitu 106 masjid dalam bandar dan 472 masjid di luar bandar yang diharap mempunyai pelbagai fungsi, menarik pelbagai peringkat umur, serta untuk orang Islam dan bukan-Islam.

Iaitulah harap beliau, menjadi instrumen dakwah, membuka minda masyarakat dan berperanan sebagai pusat keunggulan masyarakat dalam menyuburkan syariat dan syiar Islam itu sendiri. – HARAKAHDAILY 24/11/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!