Wan Fayhsal dedah pernah dipujuk sokong PM

- Advertisement -

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendedahkan beliau pernah dipujuk pihak tertentu bagi menyokong Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dijanjikan mendapat peruntukan.

- Advertisement -

“Saya orang pertama yang diberi peruntukan kalau sokong PM. Saya tak diugut sama macam ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

“Tetapi ditawarkan peruntukan dengan syarat menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 kali Kelima di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Armada Bersatu yakin selepas ini tiada lagi ahli parlimen Bersatu yang akan menyokong PM demi untuk mendapat peruntukan.

“Setakat ini saya yakin tidak ada, tetapi hati manusia siapa yang tahu, sebab itulah kita bermukim di sini tiga hari untuk mengingatkan ahli-ahli kita khususnya wakil-wakil rakyat.

“Kamu menang disebabkan kerja keras ahli-ahli di bawah yang bekerja keras bagai nak mati,” katanya.

Menurutnya juga Perhimpunan Agung menjadi medan untuk memberi peringatan dan muhasabah selepas Bersatu mencapai kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri lepas.

“Sekarang Bersatu mempunyai Adun hampir 40 orang dan ahli Parlimen 30 lebih. Jadi kita lebih progresif berbanding Umno,” katanya.

Oleh itu beliau mengingatkan supaya Armada Bersatu tidak mudah terpedaya dengan musuh yang sentiasa berusaha untuk melakukan tipu muslihat. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!