KOTA BHARU: Sebanyak 160 pengkalan hadapan disediakan di Kelantan bagi menghadapi kemungkinan banjir susulan amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Rohani Ibrahim berkata, pada masa sama ia turut melibatkan 16 stor bencana serta sebuah depot simpanan keperluan bencana (DSKB).
“Selain itu sebanyak 70 pembekal barangan keperluan bencana dan 108 pembekal pek makanan siap masak juga dilantik di semua jajahan.
“Sumber tenaga kerja pula seramai 7,147 petugas yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis.
“Selain itu Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 10 agensi lain,” katanya ketika menjawab soalan Norsham Sulaiman (PN-Semerak) pada sidang Dun hari ini.
Menurutnya juga kerajaan Kelantan menaik taraf sistem e-Banjir dengan memperkenalkan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana) bagi menyalurkan maklumat tepat dan cepat kepada orang ramai.
Kata beliau sistem itu melibatkan integrasi dengan sistem sedia ada yang merangkumi modul bantuan yang berfungsi untuk penyaluran bantuan kepada pihak yang memerlukan.
Menjawab soalan tambahan Zubir Abu Bakar (PH-Mengkebang) Rohani berkata, pihak pengurusan banjir tidak menghalang mana-mana wakil rakyat yang datang meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya juga mana-mana pihak atau NGO yang berminat mahu membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara boleh mendapat di e-Bencana. – HARAKAHDAILY 23/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!