SHAH ALAM: Srikandi Bersatu terbukti terus utuh menggenggam kesetiaan di mana sehingga sekarang tiada mana-mana ahli Parlimen dalam kalangan mereka mengalih sokongan kepada parti lain.
Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun berkata, kejayaan itu dicapai hasil komitmen dan sokongan padu ahli-ahli Srikandi.
Katanya juga ribuan barisan kepimpinan yang diberi mandat dan kepercayaan menerajui kepimpinan cawangan bagi penggal ini.
“Ingatlah jawatan yang disandang hari ini adalah amanah. Galaslah dengan sebaiknya. Semoga dengan keberadaan semua kepimpinan Srikandi di semua cawangan akan dapat mengukuhkan ukhuwah,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian pada Ucapan Dasar Srikandi di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 hari ini.
Sehingga sekarang empat ahli parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dengan alasan mahu mendapat peruntukan.
Ahli parlimen terbabit iaitu dari Gua Musang, Jeli, Labuan dan Kuala Kangsar.
Rina juga berkata, perjuangan Srikandi bukan sahaja memenuhi amanah dan tuntutan parti, sebaliknya membawa agenda lebih besar iaitu perjuangan ummah.
Katanya juga setiap tahun Srikandi menerima permohonan ahli-ahli baharu di samping permintaan untuk menubuh cawangan baharu.
“Semua pemimpin dan ahli-ahli Srikandi hendaklah menggunakan peluang untuk menambahkan jumlah anggota Srikandi.
“Srikandi tetap setia bersama Bersatu. Kekal setia, biar pun banyak dugaan dan bisikan syaitan, Srikandi terus setia. – HARAKAHDAILY 23/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!