‘Rakyat sedang derita, nak cari beras pun tak ada’

- Advertisement -

SHAH ALAM: Fakta dan data ekonomi ketika ini sedang menggambarkan bahawa rakyat cukup derita dan berada dalam keadaan terhimpit, demikian kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.

Beliau mengemukakan kaji selidik terkini Merdeka Center di mana mendapati 60 peratus rakyat menyatakan bahawa tindakan kerajaan memerintah ketika ini tidak berada di landasan yang betul.

Begitu juga bentangnya, nilai Ringgit di mana pada Mei 2022 berada pada RM4.40 berbanding Dolar Amerika Syarikat, tetapi kadar semasa adalah RM4.68 yang dinilai kelemahan itu menunjukkan dunia hilang kepercayaan.

Manakala memetik statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), beliau menyatakan jumlah pelaburan asing diterima pada Januari-Jun 2022 adalah sebanyak RM90 bilion.

“Tahun ni, tempoh yang sama Januari-Jun 2023, pelaburan asing masuk ke sini ke Malaysia RM63 bilion. Berkurangan. Adakah jumlah pelaburan yang berkurangan ini menunjukkan juga krisis pelabur luar kepada Malaysia?” soalnya.

Beliau berhujah demikian dalam program Berani Semuka Sinar Harian yang mendebatkan tajuk ‘Survival Ekonomi: Rakyat Lega atau Terhimpit’ bersama Ketua Pemuda PAN, Senator Mohd Hasbie Muda, di sini malam tadi.

Mengungkapkan realiti semasa, beliau mengemukakan permasalahan ketiadaan beras putih tempatan di pasaran hinggakan rakyat terpaksa membeli beras import yang mahal harganya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, sedangkan negeri Kedah sahaja menyumbangkan 43 peratus daripada 63 peratus pengeluaran beras dalam negara dan beras sebagai makanan asasi menjadi ukuran kepada ekonomi rakyat.

“Jadi kalau orang nak makan nasi pun tak boleh, maknanya rakyat sedang menderita, rakyat sedang merana. Dan harga barang pun naik. Isunya ialah sebelum jadi menteri, dia kata dia boleh kawal harga barang. 

“Bila jadi kerajaan. Tapi kenapa sekarang ni tak boleh dikawal? Ikan kembung, sekilo lebih daripada RM18. Ini semua makanan-makanan asasi yang yang rakyat cari setiap hari. Ada video, sebar dalam Facebook, dalam TikTok.

“Orang pi makan di kedai hanya order, nasi putih dengan telur dadar saja. Dan anak dia bersyukurlah dapat makan. Itu satu, satu indikator yang sangat-sangat menunjukkan rakyat sedang derita,” tegasnya.

Pun demikian beliau juga membahas data-data dikemukakan Mohd Hasbie yang disifatkannya tidak selari dengan realiti sedang berlaku ke atas ekonomi rakyat di mana jelas tidak menampakkan kejayaan sebagaimana dibentang Ahli Dewan Negara itu.

“Saya tak sebut semuanya gagal. Saya sebut belum nampakkan kejayaan. Rakyat masih lagi mencari apa kaedah, apa solusi? Harga barang naik nak selesai macam mana? Beras tak ada di pasaran nak selesai macam mana? 

“Sebelum ini kita tak pernah hadapi isu beras tak ada di pasaran. Kita pi cari di kedai beras dah. Tapi hari ini orang pergi cari di kedai, beras tak ada. Beras tak ada itu ada tangkapan dibuat. Apa jadi dengan orang yang ditangkap itu? 

“Jangan tanya saya. Kena tanya pihak yang berkuasa patutnya bila orang yang sorok beras itu dah ditangkap, beras itu kembali ada di pasaran, tapi beras masih tak ada. Orang dah ditangkap. Jadi sebenarnya apa penyelesaian apa yang berlaku? 

“Ke mana perginya orang-orang yang ditangkap dan dilihat menjadi kartel dan dalang-dalang ini? Isunya masalah itu masih membelenggu rakyat pada hari ini,” hujah beliau. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -