KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membina dan membaik pulih sebanyak 3,322 rumah menerusi program Rumah Dhuafa’ dalam tempoh lima tahun bermula 2019 sehingga tahun ini.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, daripada jumlah itu, 645 dibina baharu dan 2,677 lagi projek baik pulih rumah.
Katanya, rumah terbabit dibina secara percuma diberi kepada penduduk miskin dengan kos keseluruhan lebih RM51 juta.
“Sebanyak RM29 juta bagi bina baharu dan lebih RM22 juta untuk projek baik pulih.
“Bermula pada 2022, harga rumah baharu RM55,000 dan baik pulih maksimum kos RM20,000 dan ia bergantung kepada spesifikasi teknikal yang dicadangkan Pejabat Tanah dan Jajahan.
“Kerajaan negeri amat komited membantu penduduk miskin. Mengikut rekod dari 2009 hingga 2023 jumlah keseluruhan rumah dibina baharu dan baik pulih sebanyak 8,807,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama).
Mohd Nassuruddin berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 1,343 rumah dibina baharu dan 7,464 program baik pulih rumah.
Kata beliau ia melibatkan kos keseluruhan lebih RM129 juta iaitu sebanyak RM54 juta bina baharu dan lebih RM75 juta untuk baik pulih.
Menurutnya kerajaan negeri turut membina rumah mampu milik kepada rakyat dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran termasuk kerjasama pihak swasta di Gua Musang; Labok, Machang; Taman Iman Jaya, Wakaf Che Yeh dan Kok Lanas.
“Alhamdulillah banyak rumah mampu milik kita buat untuk rakyat,” katanya yang menjawab soalan tambahan Mohd Adanan Hassan (PN-Kelaboran). – HARAKAHDAILY 23/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!