KOTA BHARU: Pembangkang di Kelantan mendapat peruntukan serupa dengan wakil rakyat penyokong kerajaan bagi Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) iaitu sebanyak RM290,000 setahun.
Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, peruntukan itu diberi sebagai menggambarkan kecaknaan kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya Adun pembangkang difahamkan turut mendapat peruntukan lain daripada kerajaan Pusat.
“Jadi tidak adil sekiranya kerajaan negeri mengagihkan peruntukan lain kepada pembangkang memandangkan mereka turut mendapat peruntukan kerajaan Pusat.
“Tidak adil namanya kalau ditambah lagi peruntukan lain kepada Adun pembangkang, sedangkan Adun penyokong kerajaan negeri tidak mendapat peruntukan tersebut,” katanya menjawab soalan Mohd Syahbudin Hashim (BN-Galas) pada persidangan Dun hari ini.
Bagaimanapun kata beliau sekiranya Adun pembangkang tidak mendapat sebarang peruntukan daripada kerajaan Pusat kerajaan sedia mempertimbangkan peruntukan lain.
Di Kelantan terdapat dua Adun pembangkang iaitu mewakili Galas dan Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim. – HARAKAHDAILY 23/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!