Kempen Kelantanku Bersih diperuntuk RM12.80 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Belanjawan Kelantan 2024 turut memberi tumpuan bagi merangsang ekonomi melalui pembangunan taman rekreasi, kiosk perniagaan, pelancongan dan ekonomi digital.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembangunan ekonomi progresif melibatkan peruntukan sebanyak RM349.7 juta.

Katanya ia merangkumi pembangunan tanah rekreasi dan kiosk perniagaan sebanyak RM12.55 juta, sektor pelancongan (RM23.2 juta), hasil (RM267.08 juta), pembangunan negeri (RM44 juta) dan ekonomi digital (RM2.85 juta).

“Belanjawan 2024 juga turut memberi penekanan penyediaan sumber air terawat diperuntuk RM16.10 juta yang merangkumi menyiap sistem rawatan pengeluaran air terawat 30 juta liter sehari di Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Telok Kota Bharu sebanyak RM5.03 juta.

“Manakala bekalan air komuniti sebanyak RM9.16 juta,” katanya ketika membentang Belanjawan Kelantan 2024 pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga bagi memastikan Kelantan muncul sebagai Jelapang Makanan Negeri sebanyak RM11.69 juta diperuntuk untuk sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Kata beliau peruntukan tersebut termasuk sebanyak RM5.54 juta kepada petani dan nelayan.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri meneruskan kempen Kelantanku Bersih melibatkan peruntukan sebanyak RM12.80 juta.

Ia termasuk program kebersihan dan keceriaan bandar, tapak pelupusan sisa pepejal serta projek menangani banjir dan sektor pembangunan hutan serta hutan simpan.

“Bagi Teras Ihtirafi Tadbir Urus diperuntukkan sebanyak RM21.85 juta bagi memperkukuh tadbir urus dan pengurusan kewangan.

“Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di atas hubungan kerjasama ‘G to G’ yang baik bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat manfaat dalam apa jua program pembangunan.

“Saya berharap Belanjawan 2024 dengan tema Kelantan Mampan Berkat Sejahtera yang dibentangkan ini dilimpahi rahmat dan keberkatan daripada-Nya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!