Keadaan politik negara sangat merbahaya – Presiden PAS

Seru tambah dan pertahan kerusi Melayu-Islam

- Advertisement -

KEMAMAN: PRK P.040 Kemaman hakikatnya mempunyai kepentingan sangat besar kepada negara seluruhnya iaitulah untuk menambah dan mempertahankan kerusi orang Melayu di Dewan Rakyat.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, keadaan politik sedang dihadapi ketika ini adalah sangat merbahaya kepada orang Melayu-Islam dan terhadap agama Islam itu sendiri khususnya.

“Malangnya kebanyakan orang Melayu dan orang Islam menganggap politik ini tak penting. Ikutlah siapa-siapa dia memerintah pun. Padahal perkara politik ini menjadi perjuangan Nabi-nabi dan Rasul-rasul.

“Termasuk Nabi kita (Muhammad SAW). Politik ialah memilih pemimpin. Siapa yang memerintah kita? Itu makna politik. Kita mengundi memilih pemimpin untuk memerintah negara kita,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Marang itu berucap demikian dalam program Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) sempena PRK P.040 Kemaman yang dilangsungkan di Dewan Sivik, Pekan Kijal, di sini malam tadi.

Menurut beliau, British bukan sahaja menjajah tanah air ini, tetapi juga menjajah diri iaitulah menjajah pemikiran hingga orang Melayu dan umat Islam tidak sedar betapa besarnya kewajiban politik.

Katanya, perpecahan orang Melayu-Islam yakni PAS dengan Umno dan Umno sesama Umno telah menyebabkan gabungan majoriti bukan-Islam Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara.

“PKR 30 kerusi, 19 saja orang hat Melayu. Ini pula Melayu liberal, Melayu macam-macam. 11 lagi bukan Melayu. Umno 26 kerusi berpecah. Dalam masa yang sama DAP 40 kerusi. Bergabung dengan Kristian di Sabah dan Sarawak.

“Umno yang bercelaru sokong, ditubuhlah kerajaan. Dinamakan Kerajaan Perpaduan. Nama pun tak betul. Kerana dalam istilah politik, kerajaan perpaduan ni ialah kerajaan semua parti. Tak ada parti pembangkang. Itu makna perpaduan. 

“Ini pembangkang lebih besar. Parti kerajaan 80 ini berlaku banyak tak mengundi. Ada pun PN (terdiri daripada) PAS 43 kerusi, BERSATU 31, jadi 74 kerusi. Dua saja bukan Islam 72 adalah orang Islam. Besar kedudukannya,” ujar beliau. 

Cerita Tuan Guru, pada awalnya PAS berusaha mengajar Umno untuk tubuh kerajaan, juga parti Sabah dan Sarawak termasuklah WARISAN iaitu parti orang Melayu di Sabah, selain lapan orang Melayu di Sarawak.

Jelasnya, ia cukup untuk menubuhkan kerajaan, tetapi Umno berpaling tadah kerana hendak jadi Menteri dan Menteri Besar di mana kerana mahukan jawatan sanggup bergabung dengan DAP.

“Bergabung dengan DAP di Perak, bergabung dengan DAP di Pahang. Padahal boleh tubuh kerajaan dengan PN, PAS dan BERSATU. Boleh tubuh. Tapi oleh kerana nak jadi Menteri Besar nak jadi Exco, nak jadi Timbalan Perdana Menteri.

“Dengan DAP, DAP-lah dak apa. Dengan PKR-PKR tak apa. (Sedangkan) DAP ni satu parti yang terang-terang bercanggah dengan Islam, Perlembagaan dia menegakkan sekularisme. Tak ada agama, agama tak ada kuasa. Ini sekularisme. 

Malaysian Malaysia macam Singapura tak ada rupa bangsa, nak hapuskan kebangsaan. Ini DAP, ini DAP. PKR pula liberal pragmatisme. Parti yang tidak ada dasar. Macam lalang ikut angin. Parti yang tak ada dasar, bercampur macam-macam,” bidasnya.

Tuan Guru turut mengakui bahawa PN sedang memujuk Umno kepada usaha menambah dan mempertahankan kerusi orang Melayu kerana bukan semua yang berada di dalam parti itu menyokong PH. 

Beliau juga dalam ceramah tersebut telah mengupas sejarah panjang hubungan PAS dan Umno termasuk perpecahan yang berlaku serta usaha menghadapi penjajah dan memerdekakan negara ini. – HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -