Kaji selidik: Umno akan kalah lebih teruk di Kemaman

- Advertisement -

PADA 29 Oktober hingga 17 November lalu, kumpulan penyelidik Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) telah melaksanakan satu kaji selidik bertajuk “Kecenderungan Pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman” menerusi temu bual secara dalam talian dan secara tatap muka. 

Kaji selidik yang menggunakan teknik persampelan rawak berstrata untuk pemilihan responden ini melibatkan seramai 1,356 pengundi berdaftar bagi Parlimen Kemaman (P.040) iaitu 285 orang bagi DUN Kemasik (N.29), 294 orang bagi DUN Kijal (N.30), 391 orang bagi DUN Cukai (N.31) dan 386 orang bagi DUN Air Putih (N.32). Responden yang dipilih ini juga adalah representatif kepada pengundi berdaftar bagi bahagian pilihan raya ini pada sudut kumpulan etnik, umur dan jantina. 

Selain untuk mengenal pasti faktor-faktor utama yang menjadi pertimbangan pengundi dalam menentukan undi mereka, kaji selidik ini juga melihat peluang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta PERIKATAN NASIONAL (PN) dalam PRK; mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan gabungan PH-BN serta turut membandingkannya dengan tahap penerimaan rakyat terhadap Menteri Besar Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Berdasarkan kaji selidik ini, 68 peratus responden bersetuju bahawa calon yang dipertaruhkan dalam PRK ini hendaklah terdiri daripada muka baharu yang aktif dalam parti dan berpendidikan tinggi berbanding 15 peratus responden yang tidak bersetuju. 

Secara lebih spesifik, nama calon yang menjadi pilihan utama responden untuk mewakili PAS mengikut kaji selidik ini ialah Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu. Manakala, pilihan utama responden untuk mewakili Umno pula ialah Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. 

Mengenai kekalahan teruk Umno di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan peringkat negeri baru-baru ini, 53 peratus responden berpendapat bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah puncanya diikuti 27 peratus responden berpendapat bahawa puncanya ialah Datuk Seri Ahmad Said. Responden berpendapat kedua-dua mereka perlu ditukar.

Sejumlah besar iaitu 63 peratus responden juga berpendapat bahawa calon Umno akan mengalami kekalahan lebih teruk dalam PRK ini berbanding kekalahan calon Umno bagi kerusi ini pada PRU15 yang lalu. Hanya 14 peratus responden berpendapat bahawa Umno tidak akan kalah lebih teruk.

Kemungkinan kekalahan Umno ini juga amat berasas jika dibandingkan dengan beberapa dapatan lain dalam kaji selidik ini. Antaranya ialah, hanya 21 peratus responden yang berpuas hati berbanding 62 peratus yang tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. 

Dapatan ini dilihat berwibawa kerana selari dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center ke atas 1,220 responden seluruh negara dari 4 Oktober ke 24 Oktober yang menunjukkan tahap ketidakpuasan hati rakyat dengan prestasi Anwar sudah naik menjadi 43 peratus.

Sebaliknya 70 peratus responden di Kemaman berpuas hati dengan prestasi Dr. Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu berbanding hanya sebilangan kecil, iaitu 7 peratus, yang tidak berpuas hati.

Majoriti iaitu 63 peratus responden juga tidak bersetuju dengan kerjasama antara PH dan BN berbanding 19 peratus yang bersetuju. 61 peratus responden pula berpendapat kehidupan mereka tidaklah bertambah baik selepas PH-BN memerintah Malaysia berbanding hanya 15 peratus yang berpendapat di sebaliknya. 

Tambahan pula, 44 peratus responden juga tidak yakin bahawa Kemaman akan membangun dengan lebih drastik jika calon BN memenangi PRK ini berbanding 23 peratus yang yakin menyebabkan janji pembangunan tidak mampu digunakan dengan berkesan di Kemaman.

Pada 18 November lalu, sah PAS menamakan Dr. Ahmad Samsuri sebagai calonnya manakala Umno pula menamakan calon lain untuk mewakilinya iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Walaupun mungkin dengan menamakan calon langsung daripada bekas pegawai tinggi kerajaan ini ada kelebihannya tersendiri, namun berdasarkan kaji selidik ini, Umno harus sedar bahawa majoriti pengundi mahukan calon yang aktif dalam parti serta dekat dan selalu bersama mereka. 

Tindakan PAS atau PN memilih Dr. Ahmad Samsuri sebagai calon pula dilihat lebih tepat dengan kehendak majoriti pengundi tambahan pula Menteri Besar Terengganu ini diakui mempunyai keperibadian yang baik dan suka menyantuni semua pihak sama ada kawan mahupun lawan. 

Pemilihan beliau juga dilihat sangat strategik untuk memastikan hak Terengganu dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan di Parlimen sekali gus mengukuhkan lagi pengaruh PAS di peringkat nasional. Berdasarkan tinjauan umum juga mendapati bahawa kebanyakan rakyat sememangnya melihat dan menyokong pemilihan beliau ini bagi mempersiapkan Dr. Ahmad Samsuri sebagai antara pemimpin utama negara demi masa depan Malaysia yang lebih baik.

Menggesa Dr. Ahmad Samsuri meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk bertanding dan jika memenangi PRK ini juga adalah tuntutan yang tidak berasas. Perlu disedari bahawa Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang juga adalah Ahli Parlimen dan suara mereka di Parlimen dianggap penting.

Kesimpulannya, PAS mempunyai potensi yang besar untuk sekali lagi memenangi kerusi ini. Walau bagaimanapun dengan 20 peratus responden tidak pasti akan keluar mengundi atau tidak dan 6 peratus responden lagi tidak akan keluar mengundi, PAS tidak boleh mengambil mudah mengenai peratusan keluar mengundi, terutamanya dalam memastikan pengundi luar pulang mengundi.

EIKHWAN ALI
Ketua 
Jabatan Pengurusan Strategik & Advokasi Dasar
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) – HARAKAHDAILY 23/11/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!