Graduan terharu NC UniMAP hantar skrol ijazah ke rumah

- Advertisement -

ARAU: Hasrat seorang graduan menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada sidang akhir dijadualkan petang semalam terkubur kerana keadaan kesihatannya semakin merosot.

- Advertisement -

Mohamad Imhar S.N. Ibrahim, 39, disahkan mengidap kanser neuroendocrine tahap empat.

Beliau merupakan graduan Pusat Pembangunan Profesional & Pembelajaran Berterusan (PDCE) UniMAP.

Bagaimanapun UniMAP mengadakan majlis pengurniaan ijazahnya hari ini selepas Naib Canselor (NC) UniMAP, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli mendapat perkenan daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Mohamad Imhar berkata, beliau dan keluarga terharu di atas di atas inisiatif UniMAP mengurniakan ijazah kepadanya.

“Saya berhasrat untuk hadir konvokesyen, namun keadaan kesihatan yang tidak menentu tidak membenarkan saya untuk hadir,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Beliau menerima skrol yang disampaikan sendiri Naib Canselor UniMAP di rumahnya. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Mohd Shukry Abdul Majid; Pendaftar UniMAP, Syahiza Hamzah dan Pengarah PDCE, Prof. Madya Ts. Dr. Nasrul Bin Hamidin.

Menurut Mohamad Imhar, beliau disahkan mengidap kanser tersebut pada tahun 2021 tidak lama selepas mendaftar sebagai pelajar.

“Namun saya berusaha menyempurnakan pengajian kerana itu adalah salah kepuasan yang ingin saya capai.

“Malah dengan sokongan isteri, anak-anak serta keluarga menjadi penguat semangat untuk saya terus positif dan fokus pengajian,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu masih lagi menjalani beberapa siri rawatan. – HARAKAHDAILY 23/11/2023