KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta kerajaan menyatakan sama ada mempunyai cadangan untuk mewujudkan perbadanan di peringkat Persekutuan bagi mengendalikan industri perlombongan nadir bumi bukan radioaktif (NRREE).
Katanya, ini berikutan rizab NRREE terdapat di negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perak.
“Adakah kerajaan bercadang untuk menjadikan pengendalian NRREE seperti minyak dan gas, iaitu mewujudkan satu perbadanan di peringkat Persekutuan, iaitu Petronas.
“Selain itu, mewujudkan perjanjian antara kerajaan Persekutuan dan negeri, dengan negeri mendapat royalti sebagai contoh,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Soalan asal ditanya Tan Kar Hing (PH-Gopeng) yang meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perancangan kementerian bagi memastikan industri perlombongan NRREE tanpa meninggalkan kesan terhadap kelestarian alam sekitar dan impak sosial kepada penduduk.
Sementara itu, Takiyuddin mengucapkan terima kasih kerana kerajaan masih meneruskan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan dulu, terutama Prosedur Operasi Standard NRREE dengan projek perintis di Kenering, Perak.
Beliau juga menarik perhatian Dewan Rakyat bahawa antara negara di dunia yang berjaya menguruskan NRREE hingga menjadi sumber pendapatan utama kepada negara ialah Kanada.
“Adakah kerajaan berminat untuk menjadikan Kanada sebagai model, termasuk dari segi perundangan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata semua pihak tahu bahawa bahawa dari segi NRREE, negara paling ke hadapan ialah China yang mempunyai peranan besar dalam industri itu.
“Namun kita juga tahu bahawa banyak negara lain turut terlibat, kita ada Lynas yang beroperasi di Pahang yang mengambil hasil dari Australia.
“Pada masa sama , kita juga nak tengok negara lain seperti Kanada yang mungkin kita tertarik kerana mereka juga adalah negara berbentuk Persekutuan, jadi dari perundangan antara Persekutuan dan negeri akan menjadi sangat relevan untuk negara kita sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2023